Ahad, 6 April 2025

Komen Auni Baharin Perihal Buku Dua Sayap Ilmu

Penulis buku terkenal, Auni Baharin telah memberi sedikit komentar perihal buku Dua Sayap Ilmu. Penulis berbakat yang terkenal dengan bukunya Glow: Inside & Out telah menulis di laman Instagramnya, Aunibnotes:

"Thus, inspired by Syed Ahmad Fathi’s book, Dua Sayap Ilmu, I started trying serious reading. What I mean by that is reading books in a focused manner, reflect on its content & begin to ask questions. As though as the book is alive like another person and we’re having a conversation or discussion."

Tulisan penuh beliau boleh dibaca di Aunibnotes's posting.

Ulasan Buku Oleh Zikriandbooks di Instagram

Muhammad Zikri, seorang pembaca tegar telah menulis ulasan perihal buku Intelektual Yang Membosankan. Beliau menulis:

"Isu-isu yang dibawa mungkin menarik minat saya pada 2-3 tahun lepas, waktu masih lagi di peringkat universiti. Namun perkara itu tidak lagi menarik bagi saya seperti dahulu. Tetapi saya akui isu yang dibawa seperti keilmuan, tempat mahasiswa dalam universiti, dan isu pendidikan adalah isu yang segar dan akan dibangkit pada setiap masa."

Ulasan penuh boleh diteliti di laman Instagram beliau. 

Ulasan Buku Oleh Mohd Izani bin Che Jaapar Dalam Sari Pustaka

 

Buku Berfikir Tentang Pemikiran telah mendapat ulasan dari Mohd Izani bin Che Jaafar yang merupakan seorang pustakawan di Perpustakaan MAMPU, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Ulasan ini telah diterbitkan di dalam majalah Sari Pustaka Bil. 03/2023 yang merupakan penerbitan berkala oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Mohd Izani menulis:

"Secara keseluruhan, Berfikir Tentang Pemikiran adalah buku yang mencerahkan dan memberikan wawasan baharu tentang pentingnya pemikiran kritis dan inklusif dalam kehidupan kita. Buku ini dapat menjadi panduan yang bermanfaat bagi siapa saja yang ingin mengembangkan kemampuan berfikirnya, mengatasi tentangan, dan lebih mendalam dalam memahami dunia di sekitarnya".

Untuk membaca tulisan penuh Mohd Izani dalam Sari Pustaka, klik pada pautan ini.

Ulasan Buku Oleh Laman Facebook Bacalah

Bacalah merupakan sebuah laman Facebook yang memberi fokus kepada review buku dan komik secara "suka-suka". Laman ini berhasrat untuk menjadi platform seperti Buku Nilam di zaman moden. Laman Bacalah telah mengeluarkan sebuah ulasan terhadap buku Intelektual Yang Membosankan. Mereka menulis:

"Pada aku tulisan Syed Ahmad Fathi jelas dan mudah difahami. Ulasan buku yang dilakukan oleh beliau ternyata tiada belas kasihan. Namun, ulasannya tidaklah kosong dan berniat untuk memalukan penulis. Beliau bijak memberikan contoh dan fakta dari buku-buku yang lain. Mungkin akan ada orang kata buku ini sekadar mengundang kontroversi. Namun pada aku kontroversi terhadap buku adalah sesuatu yang bagus. Bak kata Mutalib Uthman, selagi ada kontroversi terhadap buku, maknanya industri buku masih lagi hidup mekar. Kalau senyap sunyi sahaja, maknanya industri buku bakal melingkuplah."

Ulasan penuh boleh dibaca di hantaran Facebook oleh Bacalah.

Resistance Sudah Berbunga Pilihan Miss Murai

Portal Miss Murai telah menyenaraikan buku Resistance Sudah Berbunga sebagai salah satu dari 5 buku pilihan bagi bersoladiriti dengan perjuangan rakyat Palestin. Artikel yang ditulis oleh Indah Aziz itu telah menyenaraikan buku Resistance Sudah Berbunga sebagai pilihan kedua dalam senarainya. Indah Aziz Menulis:

"Buku ini merupakan rangkuman artikel tentang sejarah dan peristiwa kontemporari yang berlaku di Palestin. Pembaca dapat melihat pelbagai sudut prespektif tentang Palestin serta negara haram Israel."

Senarai penuh buku-buku yang dicadangkan boleh dilihat di pautan artikel bertajuk "Membaca Sebagai Solidariti, 5 Pilihan Buku Tentang Palestin Dalam Bahasa Malaysia".

Ulasan Buku Oleh Ardina Praf di Yoursay

Buku Intelektual Yang Membosankan telah diulas oleh Ardina Praf dari Indonesia di laman Yoursay yang merupakan sebahagian dari media Suara. Ardina menulis:

"Fathi mengkritik dengan tajam kecenderungan intelektual yang hanya mengulang-ulang teori tanpa mempertimbangkan relevansinya dengan konteks lokal dan zaman. Selain itu, buku ini juga mengupas fenomena intelektual yang terjebak dalam citra diri. Banyak yang sibuk membangun reputasi, mengutip ide-ide tokoh besar, tetapi kehilangan makna dan substansi dari kontribusi mereka."

Ulasan penuh boleh dibaca dalam pautan artikel bertajuk "Buku Intelektual yang Membosankan, Mengurai Krisis Intelektual Modern".

Sabtu, 29 Mac 2025

Madani & Sikap Totalitariannya

Saya perhati juga geng-geng kerajaan Madani ini, memang langsung tidak boleh dikritik walaupun sikit. Walaupun kadang kala komen yang dibuat umum sahaja, mesti hendak direport. Memang betul-betul totalitarian. Penjawat awam bagi mereka memang perlu menjadi robot dan hamba yang taat. Tidak boleh meluahkan fikiran barang sedikit. Lepas tu kononnya nak lahirkan warga yang kritis? Tak payah la sembang tentang hak bersuara dan sebagainya kalau hari-hari asyik mereport komen orang di Facebook sahaja. Nampak lemah dan lembik, dengan komen di Facebook pun rasa tergugat. Sentiasa insecure.

Demok-Rasisme: Memerhatikan Moral Barat Yang Bankrap

Menarik sebenarnya untuk diperhatikan dan didokumentasikan bagaimana demokrasi liberal Barat dan moralnya menuju kebankrapan. Sayangnya buku "demokrasisme" telah masuk fasa suntingan akhir dan menuju cetakan. Jika tidak boleh masukkan contoh-tontoh baharu yang menunjukkan moral Barat kini sudah hancur berkecai.

Barat yang mendabik dada perihal keagungan hak bersuaranya kini menyaksikan institusi pengajian tingginya sedang dirobohkan. Universiti dirobek kebebasan berfikiran. Pelajar diculik oleh pemerintah apabila menyuarakan inteleknya. Perkara ini dahulunya diejek kepada negara dunia ketiga. Kini kita melihat bagaimana negara Barat menculik pelajarnya ala-ala rejim totalitarian dalam kes Mahmoud Khalil di Colombia dan Rumeysa Ozturk di Tufts. Bukan setakat pelajar, professor pun kini diberhentikan apabila intelektual mereka tidak dapat diterima penguasa Barat. Terbaharu Prof. Rosie Bsheer dan Prof. Cemal Kafadar dipecat dari Havard kerana kajian mereka tidak memuji dan menyembah kehendak kolonial.

Barat dan tamadunnya pantas menuju kemunduran dan kebankrapan.

Apakah tamadun yang akan menggantikan Barat? Adakah tamadun China? Atau bolehkah tamadun Islam?

China pada pandangan saya memang menuju kepada kemajuan, tetapi China tamadunnya tidak bersifat dominasi. Dari dulu memang China mengamalkan dasar tutup pintu. Oleh itu, walaupun ia semakin maju, ia tiada minat untuk menggantikan tamadun Barat yang berbentuk dominasi. Sebagai contoh, China tidak guna kekuatan ekonominya untuk paksa negara lain terima nilai-nilainya. Tamadun Islam pula tidak nampak lagi kekuatannya dari sudut politik, malah jika ada sahaja yang mahu membangun akan segera dihancurkan oleh hegemoni Barat. Jadi gantinya masih samar.

Buku saya seterusnya dengan Rabak-Lit akan membincangkan masalah-masalah demokrasi di Malaysia dan juga kepalsuan "demokrasi liberal Barat". Mohon bantuan kawan-kawan untuk bantu kami pilih cover buku! Boleh undi di FB Rabak-Lit.

Khamis, 27 Mac 2025

Disertasi: Perjalanan Panjang Yang Memenatkan

Menulis dissertasi sememangnya satu proses yang mencabar. Ada kalanya semangat dan tenaga membuak-buak, oleh itu banyak yang dapat dihasilkan. Ada kalanya mata layu dan kuyu, sebatian kimia didalam secawan kopi juga kadang tidak mampu meransang tenaga untuk terus menulis. Namun saya teringat pesan yang dititipkan oleh tuan guru Azmi Arifin dalam bengkel yang beliau jalankan pada 23 Mac 2025. Katanya perjalanan menulis disertasi itu sememangnya panjang, kita tidak boleh berhenti berlama-lama, jika tidak, kita akan susah untuk memulakan semula tulisan. Disebabkan itu, setiap hari, sepenat mana pun saya. Saya akan mengusung jasad (pinjam ayat Azri Walter) untuk duduk di depan laptop, menaip barang satu perenggan pun. Ini kerana, satu perenggan itu lebih baik dari masa berlalu tanpa apa-apa progres. Selain itu Dr. Azmi juga berpesan, sekurang-kurangnya baca satu sumber sehari, ini bagi memastikan kita mempunyai ulasan dan perbincangan yang menarik dan meluas. Inilah pesan-pesan yang saya kira berharga untuk digunakan dalam perjalanan yang panjang dan sunyi ini.

Jalan yang panjang, apa yang penting adalah bergerak setiap masa. Biar pun hanya sejengkal.

Rabu, 26 Mac 2025

Barat Tidak Amalkan Kronisme dan Nepotisme?

Pada 15 Mac 2025, Ainon Mohd telah memuat naik status untuk promote bukunya. Dia telah menggelarkan Nabi Muhammad SAW dengan gelaran yang tidak layak dan telah mendapat bangkangan dari seluruh internet. Namun saya rasa kelakar, apabila dia memuji sistem demokrasi Barat.

Saya merasa kelakar melihat pemikiran manusia yang menyembah dan bertuhankan demokrasi Barat. Bagi saya demokrasi Barat adalah sistem yang paling hodoh dan barbarik. Yang menumpahkan darah manusia dengan begitu kejam. Katanya demokrasi Barat tidak mengamalkan nepotisme? Zaman internet boleh cari semua maklumat pun wujud lagi kebodohan macam ini. Punyalah banyak nepotisme dalam demokrasi Barat.

Terma nepotisme dan kronisme itu pun terma Barat. Tiba-tiba demokrasi Barat tak amalkan terma yang mereka sendiri cipta, tiba-tiba Nabi dulu yang hidup sebelum terma itu muncul pula dikatakan mengamalkannya. Macam mana orang macam ini berfikir? Begitu rendahkah pemikirannya hanya untuk menjual buku?

Palestin & Wacana Pasca-Kolonial Yang Membosankan

Salah satu sebab saya tidak berminat dengan sesetengah "wacana pasca-kolonial" adalah kerana mereka langsung tidak menyentuh soal kolonialisme yang berlaku di Palestin. Mereka hanya bersembang pasal teori dan falsafah yang kosong dan tidak menjawab masalah semasa. Jika disebut pun secara sambil lalu tanpa menamakan penjenayah kolonial di Palestin. Mereka hanya sedap bersembang pasal kolonial yang sudah berakhir, yang sudah selamat dan selesa untuk diwacanakan. Mereka membosankan saya dengan jargon-jargon moral yang palsu. Intelektual sebenar adalah intelektual yang berani melawan kolonial ketika ia masih berlaku, bukan hanya bersembang perihalnya apabila ia sudah selamat dan sekadar menjadi pemanis mulut bagi agenda careerism peribadi.

Saya tertanya-tanya. Apa guna ilmu mandiri kalau pembunuhan 50,000 jiwa manusia pun tidak dapat menggerakkan hati untuk bersuara?

Saya masih ingat seorang pseudo-intelektual yang claim bahawa dia belajar ilmu IR di Turki, dia adalah pseudo-intelektual yang bermulut busuk, dia mencaci Ismail Haniyeh dan keluarganya. Kemudian Ismail Haniyeh mendapat syahid. Dan saya sampai sekarang membenci mulut busuknya.

Di peringkat kerajaan pula, saya merasakan kutuk sahaja tidak cukup, zionis sengih sahaja melihat kenyataan-kenyataan kita yang kosong itu. Kerajaan perlu menutup syarikat pembekal senjata pada Israel seperti Lockheed Martin dan BAE System yang masih ada pejabat di Malaysia dan mempunyai usahasama di Malaysia. Kontrak kerajaan dengan pembekal senjata ini perlu dibatalkan.

10 tahun lagi, anak-anak kita akan membaca buku-buku yang kita tulis, mereka akan buka jurnal-jurnal akademik, mereka akan mencari wacana pada masa yang lalu. Mereka mahu tahu, apakah pemikiran barisan penulis dan para intelektual ketika dunia menyaksikan jenayah genocide paling besar dalam dunia. Adakah intelektual itu mempunyai "moral stand". Mereka akan jumpa kekosongan yang besar, mereka akan jumpa wacana-wacana intelektual yang langsung tidak peduli dengan peristiwa besar dunia. Mereka akan hampa dengan kekosongan moral intelektual sebelum ini. Mereka akan jumpa penulisan yang penuh dengan moral-moral palsu. Mereka akan membaca bahawa jurnal-jurnal akademik ini langsung tidak peduli dengan nasib yang menimpa umat mereka.

Selasa, 18 Mac 2025

Tetap Berjalan Walau Satu Perenggan

 

Bergambar di Perpustakaan Negara Malaysia pada 15/03/2025.

Fasa menulis dissertasi ini merupakan fasa yang sangat memenatkan, tetapi menyeronokkan dalam masa yang sama. Saya memberi tahu isteri bahawa saya seronok menulis dissertasi. Beberapa hari lepas saya sempat bermukim selama dua hari di Perpustakaan Negara Malaysia, menyemak sumber dan duduk menulis. Banyak juga kemudahan yang ada untuk membantu kita melakukan kajian. Saya juga sempat menggunakan mesin mikro-filem bagi membaca akhbar Warta Malaya dalam tulisan Jawi pada tahun 1930-1940. Tidur juga sekarang tidak tentu waktu. Saya sudah kembali ke rutin tidur lewat iaitu pada satu atau dua pagi. Ada kala terlajak juga menulis hingga tiga pagi. Walau sepenat mana pun saya pada sesuatu hari, saya akan cuba gagahkan diri untuk menulis walau satu perenggan. Perjalanan masih jauh tetapi cabarannya sangat mengujakan.

Jumaat, 7 Mac 2025

Perjuangan Sentiasa Melahirkan Roh Dalam Penulisan

Syed Ahmad Idlan Ammar di USM pada tahun 2023.

Pada 09 Februari 2025, saya sempat berjumpa dengan tuan guru saya, Dr. Azmi Arifin. Untuk berbincang tentang dunia sejarah, kajian-kajian terhadapnya, dan juga persilangannya dengan ideologi, semangat kebangsaan, parti politik, dan suasana semasa. Kajian sejarah bagi saya memang merupakan bidang kajian silang, ia tidak dapat dipisahkan dengan lapangan ilmu lain. Sebab itu muncul sejarah politik, sejarah ekonomi, sejarah sains, dan lain-lain. Semuanya menuntut pengkaji itu mengkaji lebih dari sekadar ilmu-ilmu alat sejarah.

Salah satu perkara menarik dalam diskusi saya semalam adalah apabila guru saya membahaskan tentang apa yang menyebabkan satu kajian itu menarik, mendalam, dan mendasar kupasannya. Setelah beliau meninjau banyak penulis-penulis dan pengkaji sejarah. Beliau menyimpulkan bahawa kajian sejarah yang menarik adalah kajian yang ditulis oleh ahli sejarah yang ada perjuangan dalam dirinya. Ahli sejarah yang memperjuangkan sesuatu.

Perjuangan itu boleh jadi berbentuk ideologi politik tetapi tidak semestinya. Boleh jadi dia berjuang untuk membersihkan sejarah dari campur tangan ideologi politik, atau berjuang melahirkan sejarah yang objektif. Apa pun perjuangan yang dipilih, penulisannya akan menjadi satu kajian yang mempunyai roh. Semangat perjuangannya dapat dirasai dari kajiannya. Kajian yang dilakukan tidak berbentuk halai balai sekadar memenuhi kriteria akademik.

Kajian sejarah yang mendalam adalah hasil tangan ahli sejarah yang mempunyai perjuangan. Perbezaan ketara dapat dilihat dengan ahli akademik biasa yang cari makan, yang menulis sekadar untuk memenuhi tuntutan KPI, mendapat point dan kenaikan pangkat. Walaupun banyak tulisan yang dihasilkan, ia tidak dapat menangkap imaginasi pembaca kerana rohnya tiada.

Tetapi apabila memeluk perjuangan, pastilah ia tidak mudah dan ada harga yang perlu dibayar.

Bantuan Ekonomi: Alat Propaganda Imperialis

 

Apabila Donald Trump menjadi presiden kali kedua, antara perkara bagus yang dilakukan adalah membatalkan funding untuk USAID. Jadi kita boleh tahu persatuan mana yang selama ini menjadi front-group untuk menjadi alat imperial Amerika di Malaysia. Saya tak percaya dengan hujah "sebahagian mereka buruk tapi ada juga kerja baik yang mereka buat" kerana bagi saya itu memang strategi "strategic ambiguity" dalam usaha perisikan dan propaganda imperialis dalam menekan dan membuli negara-negara lain. Nampaknya memang betul teori bahawa hegemoni imperial sekarang on the decay. Dunia lama akan mati dan dunia baharu akan muncul.

Bertemu Penulis Muda Suhaib Zahir

 

Pada 14 Februari 2025, saya sempat bertemu penulis muda kritis, Saudara Suhaib Zahir. Banyak perkara perihal penulisan  yang kami bincang bersama. Dengan kehadiran penulis-penulis muda seperti beliau, saya yakin wacana pemikiran kritis di Malaysia mempunyai masa depan yang cerah. Penulis tua macam saya boleh perlahan-lahan bersara dan bermain dengan cucu. Beruntung mana-mana penerbit yang bakal menyunting karya beliau nanti. Jika dapat penulis muda kritis seperti ini, saya yakin penerbit tersebut telah melakukan pelaburan yang tepat. Bukan senang hendak mendapatkan penulis kritis seperti ini!

Menulis Prakata Bagi Buku Aktivis Pendidikan di Sabah


Saya sebenarnya selalu tidak berapa bersemangat untuk menulis kecuali jika penulisan itu lahir atas kehendak saya sendiri. Tapi kadangkala saya mengalah juga, sebab saya pun kadangkala bersalah minta orang lain tulisan. Jadi kena ada timbal balik. Selalu saya minta orang lain beri prakata, kali ini saya pula yang kena tulis prakata. Tapi apabila idea mula merasuk masuk, penulisan yang bermula dengan terpaksa jadi berjela-jela. Tambah pula kalau topiknya menarik untuk dibahaskan. Terima kasih penerbit yang menjemput saya menulis prakata. Saya merasakan buku perihal aktivis pendidikan di Sabah ini sememangnya sangat penting untuk diketengahkan. Aspek-aspek pendidikan kepada masyarakat marginal dan terpinggir ini harus diarus perdanakan. Looking forward untuk memegang naskah fizikalnya nanti. Ini kalilah!

Ulasan Buku Dari Roslan Jomel Dalam Seni Malaya

 

Pada 08 Februari 2025, Saudara Roslan Jomel, yang merupakan pengarang kelahiran Kuching, Sarawak telah menulis ulasan buku saya dalam sebuah artikel bertajuk "Membaca Karya Yang Meletupkan Akal" di portal Seni Malaya. Antara buku yang diulas beliau adalah buku Dua Sayap Ilmu dan buku Intelektual Yang Membosankan. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana sudi membaca dan memberikan sedikit ulasan. Di Instagram, beliau menulis semula kepada saya:

"Penulis hebat, perlu diangkat".

Ukraine: Projek Imperial Yang Gagal dan Fasa Mencuci Tangan

 

Setelah sekian lama memaksa Ukraine berperang yang mengakibatkan negara mereka hancur dan beratus ribu anak mudanya mati secara sia-sia. Amerika Syarikat kini sedang dalam fasa mencuci tangan dan mula mengundurkan sokongan. Panglima perang yang diagung dan diangkat selama ini juga ditikam dari belakang dan digelar sebagai diktator. Akhirnya Ukraine hanya menjadi buah catur yang gagal dalam permainan imperial Amerika Syarikat. Namun ini bukanlah kes pertama.

Pada tahun 1970-an, imperial Amerika Syarikat menyokong ARVN di Vietnam. Membunuh lebih dari 900,000 manusia, sebahagiannya menggunakan senjata kimia seperti Agent Orange dan Napalm. Namun akhirnya Amerika Syarikat kalah dan berundur. Begitu juga perang imperial Amerika Syarikat di Afghanistan untuk mengalahkan Taliban bermula pada tahun 2001. Selepas 20 tahun berperang, akhirnya Amerika Syarikat berundur dan menyerahkan Afghanistan kepada Taliban semula.

Ini merupakan pelajaran sejarah yang penting bagi negara-negara dunia. Bantuan dari imperial Amerika Syarikat bukanlah jaminan yang kuat dan boleh dipercayai untuk memenangi perang. Mereka hanya dipaksa berperang supaya kilang senjata Amerika Syarikat (military industrial complex) dapat terus beroperasi mengeluarkan produksi. Mereka tidak kisah jika negara lain musnah atau generasi mereka terhapus, kerana itu bukan negara mereka. Selepas perang, mereka hanya akan mengira untung, berapa banyak senjata yang berjaya dijual. Mereka akan pergi ke perang seterusnya pula, mencari negara lain untuk dihancurkan dan menjual senjata.

Sketsa Sakit Jantung

Selepas serangan jantung kali ke-2, saya telah ditransfer ke Hospital Alor Setar untuk meneruskan pemeriksaan berkala kerana di Hospital Sungai Petani tiada pakar jantung. Maka pada 23 Februari 2025 saya hadir ke hospital, kata menteri kesihatan, masa menunggu di hospital kerajaan kini hanya 30 minit, namun ternyata ia hanyalah berita palsu dari menteri. Saya menunggu lebih 30 minit.

Doktor: Hari ini awak ada sakit dada?

Saya: Hari ini hari yang indah doktor, langit cerah, saya pun rasa sihat.

Doktor: So, ada sakit tak?

Saya: Takde, doktor.

Doktor: Ubat Vastarel ni awak makan berapa biji?

Saya: Sebiji doktor.

Doktor: Kan situ tulis dua biji, awak jangan pandai-pandai.

Saya: Setiap manusia tu tak sempurna doktor, pastilah dalam hidupnya ada melakukan kesilapan. Macam doktor tulis nama saya "Syed Ahmad Fatni", itu bukan nama saya. Tapi tetap saya maafkan doktor.

Doktor: Awak pergi radiologi, suruh diorang copy result angiogram tu. Nanti next TCA ambil darah dan repeat echo. Ubat tu makan ikut dos, jangan pandai-pandai.

Saya: Baik doktor, selamat berpuasa minggu depan.

Kehidupan Yang Penuh Misteri

Antara penulis kegemaran saya perihal sains adalah Carl Sagan. Seperti mana-mana penulisan, pasti ada idea yang kita setuju dan tidak setuju, begitu jugalah dengan penulisan Sagan. Antara buku awal beliau yang saya baca dan masih mengesani saya adalah Pale Blue Dot. Saya suka bagaimana Sagan meninjau keluasan alam dan membuat kesimpulan bahawa ia patut menjadikan manusia lebih humble. Alam kosmos ini sebenarnya penuh dengan misteri. Beliau menulis dalam bukunya Cosmos:

"Every aspect of Nature reveals a deep mystery and touches our sense of wonder and awe....those with the courage to explore the weave and structure of the Cosmos, even where it differs profoundly from their wishes and prejudices, will penetrate its deepest mysteries.

Alam memang mendalam misterinya. Apabila manusia yakin alam itu leper, alam membuktikan ia berbentuk sfera. Apabila manusia yakin alam ini bersifat statik, alam menunjukkan bahawa dirinya bahkan berkembang. Misteri alam sentiasa mencabar keyakinan manusia.

Seperti alam, hidup juga penuh misteri. Kini saya sudah berada di pertengahan 30-an. Misai juga sudah tumbuh dengan lebatnya. Ada teman yang mengatakan misai saya serupa tentera Jerman, ada juga kata misai saya macam P. Ramlee. Usia saya juga menyebabkan kini saya selalu pergi ke hospital bagi memantau kesihatan.

Pada 23 Februari 2025 di hospital, penjaga kaunternya adalah orang yang sangat muda. Malah saya yakin dengan 'ainul yakin dia lebih muda dari saya. Ketika mendaftar di kaunter, saya ditanya:

"Adik ni duduk Sungai Petani ka?"

Persoalan ini sangat menganggu fikiran saya, benarkah saya ditakdirkan kelihatan muda seperti adik-adik di usia ini? Ini menguatkan lagi keyakinan saya, seperti kata Sagan, alam ini memang misteri.