Isnin, 13 April 2015

Catatan Baitul Muslim 4


Bagaimana saya hendak mengetahui bahawa dialah orang nya?

Saya masih ingat zaman ketika mana kami adik beradik semua masih kecil, semua masih tinggal serumah, masing-masing masih bersekolah rendah dan belum ke sekolah asrama. Rumah yang sederhana besar cukup buat kami bertujuh berteduh. Waktu itu katil king size muat kami berempat lelaki tidur bersama.

Zaman itu memang meriah, bergaduh sesama adik-beradik, menangis, kena marah merupakan penyeri rumah kami, maklumlah empat lelaki. Sungguh besar rasanya pengorbanan ibu dan ayah bersabar membesarkan kami. Ketika itu sering saja bermain di minda saya, mahu cepat membesar dan duduk dirumah sendiri.

Setelah ke sekolah asrama, kemudian menyambung pelajaran ke universiti, pulang ke rumah hanya ketika cuti. Tidak lagi seperti dulu, kini masing-masing di dunia masing-masing. Sukar bagi mencukupkan bilangan bertujuh dirumah, raya pun selalu saja tidak cukup tujuh. Kerana adik beradik pun sudah berkahwin dan mempunyai anak, kami bukan lagi bertujuh. Sekarang sepuluh, tidak lama lagi sebelas.

Apabila mula bekerja, rasa ingin sekali duduk bersama keluarga, dengan harapan dapat merasai semula kemeriahan dan riuh rendah dahulu. Terlalu lama sudah rasanya merantau sendiri mencari ilmu dan pengalaman.

Sekadar mengimbau memori.

Kembali kepada persoalan di garis pertama. Pernah di suatu ketika saya bersama seorang sahabat menaiki kereta bersama pulang dari futsal. Dia sedikit muda dari saya, masih bujang dan baru mula bekerja. Dia bertanya:

"Masa anta berkahwin dulu, macam mana anta tahu bahawa dialah orangnya. Macam mana anta tentukan bahawa pilihan anta tu betul dan sesuai?"

Sebenarnya saya juga pernah bertanya pada zaujah, "Kenapa awak berkahwin dengan saya, why me?" sekadar suka mengusik sahaja sebenarnya. Jawapan yang saya terima "Ermm susah soalan ni".

Bagi saya sebenarnya, dalam membuat keputusan kita hanya mempunyai tiga perkara. Pertama, berusaha memilih dan menilai sebaik mungkin. Kedua, bersangka baik dengan ALLAH. Ketiga, redha. Kita tidak mampu melihat lebih dari itu. Ibarat kata Anne Frank "I cannot see any further than the end of my nose". Kita membuat pilihan dalam keadaan tidak mampu melihat masa hadapan. Sebenarnya itulah yang kita lakukan setiap hari.

Sebagai contoh, kita mahu makan tengah hari. Kita pun mencari restoran, kita melihat dari sudut luaran nya, kebersihan dan sebagainya. Ini adalah usaha. Kemudian kita memilih makanan didalam restoran itu, kita tidak akan bertanya kepada pemilik restoran itu "Adakah makanan ini beracun?" , walaupun kita tidak melihat dia menyediakannya. Kita bersangka baik. Selepas selesai makan bagai mana kita ingin mengetahui bahawa pilihan kita betul atau tidak?

Sekiranya kita sakit perut kemudian adakah pilihan kita salah? Bagaimana kita boleh mengetahui kita akan sakit perut? Kita tidak akan mengetahuinya sama sekali. Disinilah datangnya konsep redha dan tawakkal dalam Islam, kerana kita tidak dapat mengawal kesan dan akibat. Namun sekiranya kita memilih untuk tidak redha, hakikatnya kita tetap tidak dapat mengubah kesan dan akibat.

Ya, memilih pasangan hidup tidaklah begitu mudah seperti memilih restoran untuk makan tengahari. Kesan nya bukan sakit perut selama beberapa hari, kita akan hidup bersamanya, menghabiskan baki usia bersama. Namun, konsep asasnya tetap sama usaha, bersangka baik dan redha.

Pada peringkat permulaan kita berusaha, mencari yang sesuai dari segi fikrah, perwatakan, status dan pararasrupa. Saya masih merasakan sehingga kini, seperti dalam Catatan 1, bahawa dalam proses pemilihan, fikrah merupakan kritiria terpenting. Namun usaha ini perlulah mengikuti garis syarak yang ditetapkan. Contohnya seperti menyuarakan hasrat hati kepada orang tengah, yang kita percayai, mungkin makcik, pakcik, naqib halaqah, nakibah halaqah, ibu bapa atau nenek.

Sekiranya keduanya telah bersetuju, doa dan istikharah telah dibuat, segalanya telah diatur dengan baik maka berbaik sangka lah. Tetap kan hati dan jangan toleh ke belakang lagi. Berbaik sangka kepada Allah bahawa ini adalah ketentuan terbaik untuk kita. Juga berbaik sangka pada pasangan pilihan bahawa nilaian dan sangkaan kita padanya adalah tepat.

Akhir sekali redha lah dengan baitul muslim yang dibina, ketahuilah lelaki dan perempuan itu tidak sama. Baik dari segi fizikal, kemampuan, emosi dan cara fikir. Juga tidak ada manusia yang sempurna, berlapang dada lah terhadap apa yang kurang, dan sentiasa menghargai dan memuji nilai kelebihan nya. Redha bukan bermakna sekiranya pasangan kita itu kurang dari segi sesuatu kita membiarkan nya, kita harus membantunya meningkatkan diri, membaiki, dan menasihati.

Sekiranya dihujung nanti pernikahan itu berakhir dengan perpisahan sekalipun. Konsep redha ini masih terpakai. Ia bukanlah kesilapan takdir Allah, tetapi ia adalah takdir terbaik untuk kita dari Allah yang kita manusia tidak tahu rahsia-rahsia kebaikan disebalik perpisahan itu.

Perkahwinan bukanlah magik, seperti dalam filem dan novel. Segalanya indah setiap masa. Hakikatnya ia memerlukan masa, usaha dan komitmen dari kedua pihak untuk mencipta bahagia. Bahagia itu bukanlah hadir secara luar biasa, tetapi ia terhasil dengan usaha. Bahagia adalah saling redha meredhai, bahagia itu pada hati, ia bukan objek material. Sekadar itulah yang saya fahami.

Buat zaujah yang masih kesedihan, moga terus tabah dan terus bersangka baik dengan ketentuan Ilahi. Utuslah doa buat kesayangan yang telah pergi. Moga syurga buatnya dan buatmu.

Uhibbukifillah.

Isnin, 6 April 2015

Aku merindui saat-saat aku merasa hidup


Aku ingin kembara lagi

Penulis: Prof Madya Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Penerbit: Grup Buku Karangkraf

Saya tidak mempunyai pengalaman peribadi bersama Dr. Asri, namun saya meminati gaya pemikiran yang dibawa oleh beliau. Saya mula mengenali beliau melalaui video-video yang dimuat naik di laman youtube, yang banyak menyentuh berkenaan dengan keinsafan dan kelemahan manusia. Siri-siri kuliah muzikal yang dimuat naik juga antara yang saya minati.

Walaupun pemikiran Dr. Asri juga dimusuhi oleh pelbagai pihak, seperti kes JAIS, juga ustaz-ustaz lain yang melabelnya dengan label Wahabi, namun saya kira Dr. Asri berada dalam class nya yang tersendiri. Fahaman dan pemikiran beliau yang dinamik dan terbuka dalam mengeluarkan pandangan dan hukum membuatkan beliau dekat dihati orang kebanyakan dan dimusuhi oleh golongan berkepentingan. Sikap beliau yang pro-rakyat dan lantang mengkritik pemimpin yang korup dan pihak yang fanatik feudalisma juga menjadikan suaranya lebih relevan berbanding ustaz-ustaz cari makan yang lain.

Saya secara jujur jarang membaca buku bahasa melayu, bukan kerana saya tidak patriotik atau berideakan barat, cuma banyak subjek pembacaan yang saya minati belum dimelayukan. Namun saya akui, buku ini berjaya mencuri perhatian saya, dan sedikit sebanyak mencorak cara saya berfikir berkenaan dengan agama, kehidupan, politik dan fungsi agama itu sendiri.

Ia juga memberi kefahaman yang jelas berkenaan dengan cara kita seharusnya memandang sesuatu hukum, mengambil kira kesesuaian budaya, tempat dan masa. Pandangan-pandangan beliau berkenaan Secular state dan Islamic state juga saya kira adil, namun masih terbuka untuk di bahaskan dengan terperinci. Dalam soal negara Islam dan pemisahan antara agama dan negara ini perlulah kita pandang dari sudut realiti dan praktikal, bukan hanya berdasarkan semangat dan emosi.

Tulisan beliau berkenaan dengan ruh dan alam barzakh juga amat terkesan dihati, kerana saya baru kehilangan bapa mertua. Sungguh kenangan itu sesuatu benda yang menghampiri nyata, kenangan membuatkan kita merasai semula saat yang telah berlalu, kadang ia mengukir senyum dibibir kita, kadang ia membutirkan air mata di kelopak mata. Sayu hati saya melihat air mata keluarga, terutamanya isteri, namun begitulah kehidupan, tiada apa yang kekal, semuanya akan kembali, bezanya adalah waktu. Moga kita mampu redha walaupun dalam linangan air mata. 

Sekiranya cebisan tulisan ini mampu membangkitkan sesuatu kepada saya, saya rasa sesuatu itu adalah perasaan ingin mengembara semula. Sudah  lama rasanya saya tidak sesat didalam hutan dan perbukitan, menghilangkan dahaga dengan air sungai dan menyelimuti badan dengan kabus di kala dini hari. Sudah tiba masanya saya kira untuk saya matikan talifon bimbit seketika, merasai hidup tanpa deringan talifon atau message-message di group whatsapp. Melihat matahari hilang diufuk jauh, tersenyum melihat langit berubah jingga dikala senja. Aku rindu saat-saat keluar dari kota, merasai kehidupan desa yang sederhana tetapi selesa. Sudah tiba masa untuk aku termenung semula. Berfikir bersama alam dan menghirup udara kebebasan.

Terima kasih atas tulisan ini.




Ahad, 29 Mac 2015

Aku dan diari Annelies Frank




Tajuk: The diary of a young girl - The definitive edition
Penulis: Anne Frank
Penerbit: Bantam Books (1997)

Saya teringat teguran supervisor saya pada satu ketika dahulu, berkenaan dengan ilmu. Katanya untuk mendapatkan ilmu kita perlu merendahkan diri, ada ketika ilmu itu datang dari orang yang lebih bawah dari kita. Andai kita sombong kita tidak akan mendapatnya.

Ada sebahagian dari tulisan Anne yang saya kira besar ertinya buat saya. Iaitu penghargaan hidup.

Anne menceritakan bagaimana dia merindukan udara segar dan cahaya matahari sepanjang beberapa tahun di dalam persembunyian dari pihak Nazi Jerman. Hari ini 71 tahun selepas tulisan itu, ketika saya memerhatikan awan biru dan merasakan tiupan angin, terdetik dihati saya, inilah yang Anne mahukan. Alangkah beruntungnya saya kerana dapat merasainya.

Nikmatnya boleh melihat langit biru dan mendapat cahaya matahari. Satu nikmat yang kita rasai setiap hari, sehingga kita merasakan bahawa ia adalah perkara biasa. Namun pada hakikatnya ia merupakan satu anugerah yang sangat besar dan berharga. Sungguh manusia akan menghargai sesuatu apabila kehilangannya.

Buku ini merupakan diari yang ditulis oleh Annelies Mary Frank yang mencatatkan pengalaman bangsa Yahudi yang hidup ketika Holland berada dibawah jajahan Nazi Jerman. Anne mula menulis mengenai kehidupan dan pengalaman keluarganya menyembunyikan diri dari tentera Nazi seawal usia 13 tahun. Tulisan nya menyentuh pelbagai subjek dalam hidup dari perspektif remaja perempuan belasan tahun. Tulisan Anne juga memberi kesedaran berkenaan dengan pentingnya kita melihat manusia sebagai manusia, manusia merupakan manusia sebelum bangsa, nasional, agama dan ideologi. Manusia perlu dilayan dengan nilai kemanusiaan tanpa mengira agama dan bangsa. 

Diari Anne sememangnya memberikan inspirasi, membuatkan pembaca lebih menghargai hidup dan berusaha mengubah ketidak adilan dan kezaliman yang ada serta memperjuangkan hak-hak manusia. Sesukar mana pun kita merasakan hidup ini, kita perlu menghargainya sebagai satu peluang dan melihat hidup sebagai satu anugerah yang indah. 
 
"Inc danke dir fur all das Gute und Liebe und Schone"
Thank you, God, for all that is good and dear and beautiful.

Khamis, 26 Februari 2015

The Clash of Civilizations



Penulis: Samuel P. Huntington 
Penerbit: Simon & Schuster Paperbacks 1996

Buku tulisan Huntington ini merupakan satu analisa perubahan politik dunia selepas cold war, saya mula tertarik untuk membacanya selepas saya membaca tulisan Graham E Fuller dalam bukunya A World Without Islam, penulisan Fuller berkisar tentang penolakan teori Huntington yang menyatakan agama sebagai punca utama konflik dunia.

Terdapat beberapa point penting yang menarik di dalam perbahasan buku ini:

1. Identiti manusia

Identiti merupakan perkara yang paling central dalam kehidupan manusia. Setiap manusia cuba mendefinisikan identitinya sama ada dengan ideologi, bangsa, negara, agama dan sebagainya. Memetik kata-kata Hassan Al-Turabi, Huntington berpendapat zaman baru akan menyaksikan manusia kembali mendefinisikan identiti mereka dengan agama, agama memberi manusia identiti dan jalan hidup.

2. Barat dan kemodenan

Untuk kehadapan kita tidak perlu menerima nilai barat secara total. Huntington menolak argument yang menyama ertikan barat dan kemodenan. Sebaliknya, kita boleh menjadi maju dan moden dalam masa yang sama mengekalkan Islam sebagai identiti. Kita boleh menjadi bangsa yang maju dengan cara dan nilai kita.

3. Generasi kebangkitan

Dalam analisisnya Huntington menjangka bahawa Islam di dalam era kebangkitan. Kebangkitan ini bukan bererti orang Islam akan kembali ke belakang, menjadi mundur. Sebaliknya, mereka yang digolongkan sebagai Islamis atau berideologikan Islam di era baru merupakan generasi yang berpendidikan. Kebanyakan nya merupakan lepasan universiti, dan mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi sains. Walaupun ibu dan ayah mereka sekular, anak kepada generasi baru lebih cenderung dengan Islam. Mereka ini lah yang akan membawa kebangkitan baru bagi Islam.

4. Pemuda dan perubahan

Generasi muda pada pandangan Huntington merupakan agen perubahan. Di sepanjang sejarah, pemuda yang ramai menyaksikan berlakunya reform dan revolusi. Perubahan demografi Islam yang menyaksikan penambahan generasi muda secara mendadak akan menyaksikan perubahan dan revolusi sesuatu yang tidak dapat di elakkan.

5. Malaysia dan dominasi kaum cina

Melalui perbahasan intelektualnya, Huntington menyatakan walaupun Malaysia merupakan negara yang majoritinya Melayu Islam, namun ekonomi Malaysia dipegang oleh kaum cina.

6. Hipokrasi barat

Kebanyakan masyarakat timur menolak nilai barat kerana hipokrasi barat sendiri. Sistem demokrasi di promosi namun sekiranya golongan Islam memenangi pilihan raya, mereka akan ditentang dan dijatuhkan. Negara bukan barat dihalang untuk memiliki keupayaan nuklear, sementara Israel dibantu untuk membangunkan nuklear. Double standard ini menampakkan nilai barat hanya digunakan untuk kepentingan politik barat dalam menentukan halatuju dunia.

7. Menaja demokrasi

Amerika Syarikat melalui National Endowment for Democracy menaja gerakan demokrasi di negara lain. 'Demokrasi' yang di taja adalah demokrasi pro-Amerika, mengikut nilai dan definisi mereka.

8. Tamadun di puncak

Apabila sesebuah tamadun sudah berada di puncak ini bermakna mereka akan melalui fasa penurunan selepas itu. Untuk kekal meningkat, sesebuah tamadun perlu merasakan mereka masih belum dipuncak. Menggunakan modal dan kekayaan yang ada untuk dilaburkan dan meneroka perkara-perkara baru yang menggalak kan inovasi dan ciptaan baru. Sebaliknya sekiranya kekayaan negara hanya digunakan untuk kepentingan golongan-golongan tertentu dalam masyarakat, ia akan menghampiri jurang kemusnahan.

Walaubagaimana pun, terdapat beberapa analisa Huntington yang saya kira terlalu simplistik dan tidak berpijak dibumi nyata. terutamanya dalam membahaskan hegemoni China di rantau Asia. China mungkin menjadi kuasa ekonomi dunia, tetapi untuk menjadi kuasa politik dunia, ia sesuatu yang berbeza. Juga berkenaan dengan punca konflik dunia, agama dan identiti digunakan sebagai central kepada konflik, namun sesuatu konflik lebih besar dari itu. Saya lebih cenderung dengan pendapat Fuller yang menyatakan kemahuan politik merupakan punca konflik, agama hanya digunakan sebagai alat untuk mendapat pengaruh dalam sesebuah konflik.



Sabtu, 14 Februari 2015

Atheis: Satu analisa



Saya mengikuti perbincangan yang dipelopori Richard Dawkins berkenaan dengan agama. Sebagai biologis atheis yang mengimani 'natural selection' dan 'Darwinian evolution' , Dawkins telah melancarkan serangan-serangan pemikiran bagi menghalang kebangkitan agama.

Orang yang beragama di ibaratkan seperti orang yang terkena virus otak, virus yang menyebabkan dia mempercayai pelbagai karut marut, keajaiban, walaupun dalam keadaan ketiadaan bukti. Virus ini adalah agama. Agama, hujah Dawkins membolehkan manusia mempercayai apa sahaja, ia berbeza dengan sains yang memerlukan eksperimen dan bukti sebelum sesuatu teori dapat diterima.

Agama seperti yang diungkapkan Dawkins, menyuruh pengikutnya mempercayai apa sahaja yang diceritakan dari mulut ke mulut, dari satu generasi ke satu generasi. Tetapi sains, menyuruh pengikutnya bertanya, berfikir dan membuktikan apa yang ingin diketengahkan. Sains adalah nilai yang akan membawa progress manakala agama membawa manusia kebelakang.

Dawkins pergi lebih jauh dengan mengatakan mengajar agama kepada kanak-kanak adalah jenayah, kerana membunuh pemikiran nya. Sebaliknya, anak-anak perlu dibiarkan untuk memilih apa yang ingin dia percayai setelah dia menganalisa semua bukti dan hujah yang ada. Saya teringat kata-kata Ust. Abdul Hadi Osman semasa saya di sekolah menengah "Ibubapa tidak boleh membunuh masa depan akhirat anak-anak". Sekolah saya tidak ada masalah dengan sains, bahkan saya belajar biologi, Teori Genetik Mendel, kimia dan subjek-subjek sains yang lain. Saya tidak nampak apa yang dikatakan sebagai clash between religion and reason.

Mungkin Dawkins mendasari analisanya dari agama Kristian yang mungkin mempunyai teori yang tidak masuk akal sebagai contoh "Mengapa Jesus yang dikatakan sebagai Tuhan, perlu mengorbankan dirinya untuk dosa manusia, sekiranya Tuhan mahu mengampunkan, mengapa tidak diampunkan begitu sahaja?". Saya tidak bermaksud mengguris hati penganut Kristian, tetapi bagi saya ruang untuk bertanya di dalam agama perlu dibuka. Agama juga perlu diterima dengan berfikir.

Sebagai contoh, di dalam Islam terdapat ruang untuk mempersoalkan fatwa, bahkan hadith juga dipersoalkan dan dikaji status dan ke-sahihannya. Penganut agama Islam tidak mempercayai secara buta (blind faith) apa yang di beri pada mereka. Namun, tidak dinafikan ada sebahagian ummat Islam yang masih belum bersedia untuk terbuka, dan menutup ruang pemikiran dan penambahbaikan bahkan menolak penakrifan semula sesuatu hukum berdasarkan masa dan waqi'.

Pernah dalam satu wawancara Dawkins bertanya kepada Mehdi Hassan, adakah dia percaya bahawa Nabi Muhammad terbang ke langit menaiki Buraq. Mehdi menjawab, ya. Saya teringat sebuah quotes dari filem Angels and Demons kata seorang paderi "Science is too young to understand the world". Dahulu sains mengatakan bumi ini rata, kemudian terbukti ia berbentuk sfera. Dahulu sains mengatakan bumi adalah centre tetapi kemudian kita fahami planet mengelilingi matahari, matahari merupakan centre. Perkara yang kita tidak dapat buktikan hari ini, tidak membawa makna ianya salah. Begitu juga sebaliknya. Ia adalah kerana keterbatasan ilmu manusia. Ada satu masalah jika kita beriman dengan bukti seperti Dawkins.

Saya berikan satu contoh. A membunuh B. Kerana A merupakan pembunuh profesional, dia telah menghapuskan semua bukti. Semasa dibicarakan, tiada siapa dapat membuktikan bahawa A telah membunuh B. Adakah secara hakikatnya A tidak membunuh B kerana tiada bukti?

Saya percaya tiada percanggahan antara Islam dan Sains. Saya juga percaya bahawa Islam tidak datang tanpa bukti. Islam bahkan menyuruh ummatnya berfikir, sekiranya kita membaca Al-Qur'an, kita akan temui pelbagai ayat yang menyuruh manusia berjalan, melihat alam, dan berfikir. Bahkan dalam banyak perkara, Islam telah mendahului sains.

Bahkan sebenarnya, kemajuan sains yang menjadi kebanggaan dan kemegahan Dawkins juga dimulakan oleh saintis Islam. Dari optik kepada perubatan, sekiranya citation nya di trace semula, kita akan dapati ia dimulakan oleh saintis Islam seperti Ibnu Al-Haytham (Alhazen) dan Ibnu Sina. Kemajuan sains hari ini, merupakan hasil tuaian kajian orang yang beragama yang berfikir. Jadi dimana logik agama membawa manusia pada kemunduran?

Masalah yang ada pada hari ini bukan kerana manusia itu beragama tetapi kerana manusia tidak berfikir. 


Jumaat, 6 Februari 2015

Tuhan beriku sebutir cahaya




Cahaya datang dan pergi seiring perjalanan mentari
Insan yang lahir juga berjalan seiring pejam celiknya setiap hari

Cuma, perjalanan insan mungkin tidak seperti mentari yang memberi cahaya
Orbit insan tidak mudah untuk diungkap dengan definisi manusia

Sebaliknya ia merupakan hakikat Ilahi
Tak dapat dicapai oleh deria manusiawi insani

Kadang aku juga bertanya soalan yang tiada siapa mampu memberi makna
Dua puluh lima tahun ini aku sudah di mana

Bekalan apa yang aku ada untuk berjalan di dunia
Apa pula yang mampu aku bawa ke akhirat sana

Malam menjadi saksi tangisku sendiri
Perjalanan panjang ini perlu dilalui walaupun lemahnya diri

Ku harap Tuhan jangan kau padamkan butiran cahaya harapan
Bantu hambamu yang lemah menyelami lautan kehidupan

Sehingga nafas terhenti pada satu hari nanti disini
Harap Engkau redhai perjalanan hamba mu ini

Agar aku tidak hilang terhenti dari percaya
Tuhan beriku sebutir cahaya


Selasa, 3 Februari 2015

The Selfish Gene


Judul buku: The Selfish Gene
Penulis: Richard Dawkins
Penerbit: Oxford University Press
Edisi: 30th anniversary edition 2006

Teori evolusi merupakan satu teori yang menarik, apabila disebut 'teori' saya lebih gemar memahaminya sebagai satu hipothesis yang boleh diterima atau ditolak setelah diuji. Berbeza dengan teori evolusi klasik yang diasaskan oleh Charles Darwin, buku karya biologis terkenal ini mengetengahkan teori bahawa evolusi berlaku bukan kerana kehendak sesuatu organisma untuk kelangsungan spesies tetapi oleh gen untuk memelihara kelangsungan gen. 

Gen seperti yang diungkapkan oleh Dawkin dalam bukunya ini, merupakan benda yang abadi, ia akan diwariskan kepada generasi seterusnya, dan jasad hanyalah mesin yang digunakan oleh gen untuk berpindah dari satu generasi ke generasi yang lain. Jasad tidak kekal. Pendekatan ini membawa makna bahawa evolusi merupakan satu kaedah yang digunakan oleh gen untuk memelihara kelangsungan nya dengan melakukan modifikasi pada jasad.

Buku ini secara tidak langsung memberi satu refreshment kepada pemahaman biologi, sejak kali terakhir saya mengikuti kelas biologi di sekolah 8 tahun lalu. Pendekatan metafor dan penggunaan bahasa non-technical memudahkan pembacaan, disamping contoh-contoh yang tidak membosankan.

Namun, ada sesuatu perkara yang menarik perhatian saya selain kritikan Dawkins ke atas agama (Dawkins sememangnya terkenal dengan fahaman atheis dan pengkritik agama), iaitu dalam menerangkan perkara-perkara kompleks seperti susun atur chromosom, genom di dalam DNA, Dawkins mengunakan metafora arkitek, dan susunan DNA sebagai binaan arkitek yang seimbang dan tersusun. Namun di akhirnya, beliau menafikan kewujudan arkitek yang digunakan dalam metaforanya. Perkara ini, menunjukkan satu paradoks pemikiran yang bagi saya menguatkan hujah creationist bahawa terdapat arkitek yang menyusun alam yang kompleks ini. Arkitek itu adalah Tuhan.

Namun, walaupun saya tidak bersetuju dengan world view atheis, saya mengagumi mereka. Apabila berdepan dengan soalan-soalan seperti bagaimana kehidupan bermula, mereka tidak menggunakan pendekatan seperti "Jangan berfikir nanti jadi gila" atau "Perkara ini hanya Tuhan sahaja yang tahu". Sebaliknya mereka berfikir dan mengemukakan teori-teori yang hanya bersifat 'mungkin ini sebabnya', kemudian mereka melakukan kajian untuk cuba membuktikan teori tersebut. Menggunakan fakta kajian dan reason. Dalam perjalanan kajian mereka itu, mereka menemui pelbagai keajaiban dan bukti penciptaan, sebahagian mereka menjumpai Tuhan dan beriman, sebahagian yang lain masih belum diberi ALLAH hidayah.

Saya secara peribadi tidak selesa untuk mengatakan seseorang itu sesat, walaupun dia seorang atheis, sebelum mengetahui mengapa dia berfikiran sedemikian. Kerana tiada siapa yang mahu sesat, kesesatan bukan kehendak yang di fitrahkan, tetapi merupakan natijah dari kefahaman dan pemikiran. Buku ini bukan berkisar tentang ketuhanan atau sosial, ia lebih kepada perbahasan biologi, tetapi dapat membantu kita memahami mengapa seseorang boleh berfikiran atheist dari sudut pandang kajian biologi.



Jumaat, 16 Januari 2015

Catatan Baitul Muslim 3



Baitul Muslim Jarak Jauh (BMJJ) semestinya mempunyai cabaran yang tersendiri. Sebelum memulakannya lagi saya sudah memesan diri agar bersabar dan menerima segala kekurangan dan kelemahan yang bakal terjadi. Mungkin ada cabaran yang saya kira memberi manfaat mungkin juga memberi sedikit mudarat. Tetapi andai kita ikhlas dan meyakini dan menyedari tujuan, matlamat Baitul Muslim itu sendiri, inshallah hati yang akan melaluinya akan lebih tenang.

Soalan tipikal yang anda akan dapat sekiranya anda ber-BMJJ adalah seperti berikut:

"Zaujah mana?"

"Tak duduk sekali dengan zaujah ke?"

Jadi anda perlulah tabah menghadapi soalan ini. Sehari mungkin anda akan mendapat 2 soalan yang sama, semakin banyak orang yang anda temui pasti lebih banyak soalan ini akan berkumpul. Saya makin lama makin selesa dengan soalan ini, lama kelamaan saya hanya menjawab dengan berseloroh.

"Saya separa bujang" sambil tersengih.

Komunikasi juga antara perkara yang perlu diperhatikan. Siapa yang melaluinya dia akan faham. Berkomunikasi menggunakan teks message atau talifon sebenarnya tidak sama dengan komunikasi verbal yang mana kita dapat memerhatikan gerak-geri orang yang kita bercakap. Kerana komunikasi bukan hanya terdiri dari perkataan, ia juga merangkupi riak muka dan sebagainya. Jadi body language ini mungkin tidak akan sampai kepada orang yang anda berkomunikasi sekiranya medium yang digunakan adalah teks atau perbualan talifon. Mesej yang disampaikan mungkin tidak begitu jelas.

Ketika saya berada di Pahang untuk misi banjir, saya menalifon zaujah untuk bertanya khabar. Zaujah bertanya:

"Ermm esok 5 haribulan kan?"

Saya pun menjawab sambil tersenyum "Aah esok 5 haribulan, kenapa?"

"Owh, takda pape", dengan nada kecewa.

"Haha, esok monthiversary kan, kena sambut ke? Happy Monthiversary!" balas saya.

Kemudian nada nya kembali gembira (saya rasa la).

Kalau zaujah melihat riak wajah ketika saya menjawab soalan nya pasti dia faham yang saya hanya berseloroh. (Saya memang suka buat provokasi, perangai masih belum boleh ubah). Komunikasi juga mungkin akan menjadi masalah sekiranya salah seorang sibuk dan salah seorang lagi sedang dalam keadaan lapang. Mungkin mesej atau panggilan yang diterima tidak tepat pada masanya. Jadi bersabarlah.

Tapi BMJJ bukanlah semuanya buruk atau menyiksakan. Bagi yang sudah terbiasa beriadhah atau berpogram hingga lewat malam, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana tiada siapa yang menunggu. Jadi, anda boleh rasa seperti bujang sekejap walaupun hakikatnya tidak.

Namun ada sesuatu yang bermain dalam minda saya. Prasangka tipikal apabila seorang akh atau akhawat mendirikan Baitul Muslim adalah bagaimana komitmennya terhadap dakwah dan tarbiyah. Soalan saya, bukankah Baitul Muslim itu juga medan dakwah dan tarbiyah?

Soalan ini mungkin panjang, dan saya tidak juga berniat untuk berhujah, atau menghuraikannya. Namun mungkin anda boleh tanya soalan ini pada seminar-seminar baitul muslim yang anda hadiri. 

Moga kita sedar bahawa dunia ini hanyalah persinggahan. Moga BMJJ yang dibina menjadi medan untuk anda lebih dekat dengan Allah. Moga ia menjadi taman-taman syurga di dunia. Jangan lupa buat usrah keluarga!

Uhibbukifillah.


Khamis, 8 Januari 2015

Trust Me, I'm Lying: Confessions of a Media Manipulator





Author: Ryan Holiday
Publisher: Penguin Group
Year: 2012


Dunia teknologi telah mengubah cara manusia mencari dan menerima maklumat, kita tidak lagi bergantung pada media cetak dan siaran televisyen sebagai sumber maklumat, sebaliknya kita menerima dan mencari maklumat melalui internet. Medium-medium seperti blog, facebook, twitter, youtube, wikipedia dan sebagainya kini menjadi sebahagian dari kehidupan kita, ia menjadi tempat kita melihat perkembangan semasa dan mencari maklumat.

Ryan Holiday dalam bukunya yang sangat provokatif dan agresif ini mendedahkan bagaimana media dimanipulasi oleh pelbagai pihak. Manipulasi ini boleh digunakan untuk pelbagai tujuan, sama ada baik, seperti mengutip dana untuk tujuan charity ataupun tujuan buruk seperti memanipulasi public opinion untuk tujuan perang dan politik.

Buku ini wajib dibaca oleh pengamal media sama ada yang profesional mahu pun amatur. Ia juga sangat bermanfaat untuk golongan yang ingin mengetahui the dark art of marketing. 

Buku ini juga menyentuh bagaimana apa yang kita terima sebagai berita, sering kali bukan berita. Tetapi ia adalah perkara yang disensasikan untuk tujuan-tujuan tertentu, untuk menarik perhatian masyarakat umum kepada sesuatu perkara, atau untuk menjual produk. Bagi mereka yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut bagai mana untuk memanipulasi media untuk kepentingan anda, saya sarankan anda membacanya. Trust me, I’m not lying.
 


Jumaat, 12 Disember 2014

Hambatan Hambatan Dakwah


Penulis: Muhammad Ahmad Ar-Rasyid
Penerbit: Robbani Press, Jakarta 2002
Judul asal: Al- 'Awaiq

Bingkisan ini merupakan penulisan dalam siri-siri pesanan kepada para da'ei, ia merupakan sambungan dari buku yang pertama iaitu Al-Muntalaq. Saya mula membaca nya pada 18 Oktober 2014 dan selesai membacanya pada 4 Disember 2014, satu hari sebelum saya berakad nikah. Kesibukan sehari-hari mengekang pembacaan, namun saya cuba beristiqomah untuk membaca beberapa mukasurat sebelum tidur setiap hari. Alhamdulillah selesai.

Sekiranya kita memilih untuk bergerak, bernafas, dan hidup bersama dakwah, kita akan dapati ia merupakan jalan yang sukar. Sejarah mencatatkan berbagai cerita, peristiwa, ujian yang akhirnya menyebabkan seseorang itu akhirnya terkeluar dari gerabak dakwah. Padahal dakwah adalah satu kemuliaan, meninggalkan nya bererti kita meninggalkan kemuliaan!

Oleh itu Sheikh Muhammad Ahmad Ar-Rasyid telah menyiapkan makalah ini sebagai pesanan kepada para pendakwah agar terus bertahan, bernafas panjang dan setia menunggu janji Allah. Pelbagai jenis penyakit dikupas dan digarap, agar para pendakwah dapat memahaminya dan mengelakkan diri dari terputus dari tali dakwah.

Sekiranya anda telah lelah, anda telah berikan segala-galanya untuk dakwah, anda penat dan perlu sedikit masa untuk berehat. Maka berehatlah dengan meneliti lembaran-lembaran tulisan ini. Moga anda menemui semula kekuatan itu, kekuatan yang menggerakkan anda pada kali pertama.

Salam perjuangan.

Khamis, 11 Disember 2014

Catatan Baitul Muslim 2


Alhamdulillah, sepanjang proses membina baitul muslim ini, banyak ucapan dan doa yang saya terima dari sahabat handai dan keluarga. Mungkin ucapan-ucapan yang saya terima ini akan hilang satu hari nanti, jadi saya mengambil keputusan untuk mengukir ucapan-ucapan tersebut di dalam post kali ini.

Barakallah al-sheikh murabbi agung Syed Ahmad Fathi. Semoga berbahagia dunia dan akhirat.
- Syafiq  Anwar, St. Petersburg

Barakallah Syed Ahmad Fathi dan pasangan semoga bahagia hingga syurga.Insyaallah. Tak ada halangan nanti sampai kat sebelah lelaki.
-Nurul Husna, SRIKG

Tahniah bro. Moga kekal ke syurga.
-Shahril Aidil, UTM

Alhamdulillah. Tahniah Fathi,1 year masters candidate. Moga writing berjalan dengan lebih lancar.
Syahidan Kamarudin, UIA

Selamat berbahagia.Moga diberkati.
-Dr. Abdul Muhaimin Yahya, Mesir

Wahh tahniah Amad and Kak Yam (suka hati ja bagi panggilan hihi) time passes really fast! lepas nh xbleh order nasi bujang dkt kedai dah.
-Syed Ahmad Islami, USIM

Alhmdulillah, tanhniah bro Syed Ahmad Fathi. Moga bahgia hingga ke sorga!
Asif x dpt mai, ada di bumi soviet lagi sheikh.
- Dr. Muizz Halim, Nizhny Novgorad

Barakallah syeikh, maafla, xdpt nk g makang nasik minyok tuh. jauh sgt. tp tolong post pun boleh.
- Shahmi Shakri, Russia

Tahniah amad dan kak yam, semoga dipermudahkan :)))
- Syed Ihsan, KTD

SubhanAllah. Fiwwit.Hehe. Barakallah kpd kedua bakal pasangan. Smoga Allah permudahkan urusan kalian (bhasa indo skit). Hahaha.
- Ahmad Fathullah, Indonesia

Barakallah fathi. Tumpang gembira.
- Dr. Mohd Hafizuddin Ahmad, Moscow

Subhanallah fathi, dh besar dh rupanye nta. Tak sempat kite nk jumpe lg, dh nk kawen.dh
moga dipermudahkn urusan.
- Dr. Azizan Azfar,  Nizhny Novgorad 

Alfun Mabruk Maryam Jameelah Izham & Syed Ahmad Fathi. Moga Allah permudahkan majlisnya. Kami di Kem Dayang mendoakan yang terbaik.
- Cikgu Atiqah Nasir, JDK

Tahniah tihi.
- Muhammad Isma Azwa (Jusoh), UTM

Tahniah. Selamat berhanimun.
- Annas Abdullah, Lembaga Getah

Tahniah juga diucapkan kepada kakak saya Maryam Jameelah dan abang ipar Syed Ahmad Fathi atas ikatan perkahwinan mereka. Barakallahulakuma wajama'a bainakuma fi khair.
- Muhammad Uzair Izham, Jordan

Barakallahu lakum fi khair buat my sister Maryam Jameelah Izham dan pasangan Syed Ahmad Fathi serta my little brother Muhammad Uzair Izham n pasangan Waheedah Sabaruddin
- Fatimah Az-Zahrah, RHB Bank 


Tahniah shbt semoga membina baitul muslim yang sah&bahagia still jannah.
- Mohd Faqih, Gombak

Barakallah fathi..Selamat bercinta ke syurga.
- Syed Omar Syed Abdullah

Barakallah fathi , smoga kekal hingga ank cucu.
- Muzakkir Ridzuan, P. Pinang.

Barakallah akhi..sekejap rasa masa berlalu.
- Ahmad Saje

My 1st murobbi in st pete just get married. From IM to BM mabruk akh Syed Ahmad Fathi.
- Fakhruddin Rahim, Manchester City

Tahniah pada Syed Ahmad Fathi dan pasangan..sama padan sama cantik..semoga kekal bhgia dunia akhirat..amboi sekali tgok gmbaq nie trsusun elok ehhh..sqhupa naik tngga..hehehe
- Muaz Mat Isa, Perodua

Assalamualaikum Syed Ahmad Fathi, semoga baitul muslim yg dibina sentiasa memperoleh keberkatan dan rahmat Allah.
- Dr. Hanif Tarmizi, Belgaum India

Mabruk & Barakallah bro.
- Fakhrullah Roslan, MMHE

Tahniah Syed Ahmad Fathi dan Maryam Jameelah Izham. Semoga bahagia hingga ke Jannah.
- Hanif Ismail, UniKL

Mabruk Syed Ahmad Fathi. Doakan hajat kami juga kesampaian :ÄŽ
- Aiman Mahzuz, Mesir

Welcoming new family member. Barakallahulakuma!
- Syarifah Nabihah, UiTM

Selamat Pengantin Baru Syed Ahmad Fathi dari Pak Teh & Mak Teh.
- Ikhwan Nasir Mohamed Noh, bagan Datoh

Alhamdulillah tahniah Syed Ahmad Fathi dan zaujah.
- Afifi Zakaria, Shah Alam

Tahniah Syed Ahmad Fathi & Maryam Jameelah Izham. Semoga bahagia hingga hgga ke jannah & tabah meniti alam rumah tangga.
- Cikgu Nabilah Abd Halim, Perlis 


Tahniah, dah walimah anak angkat.
- Ust Hairey Hamzah, Perlis 


Sekarang di masjid bakar arang. Merai hari bahagia dan bersejarah sahabat. Syed Ahmad Fathi moga tak gagap dalam melafaz akad. Hehe.Tahniah sahabat. Bakal jadi penggerak di Sg petani ni.
- Albo, MASDAR

Beberapa minit lagi sebelum bergelar "Suami" orang! doaku dari jauh mengiringimu Sahabat! :')
- Hariz Hasnan, UTHM

Tahniah sekali lagi. Dah jadi suami orang sekarang. Hebat!
- Salman Zaluwi, St. Petersburg 


Salam Fathi tahniah Maaf lambat wish. Ana doakan semoga anta dan pasangan anta bahagia sampai kejannah.
- Saiful Malik, Sabah 


Tahniah. Aku xdpt g. Semoga istiqamah bawa isteri dan family ke Tuhan.
- Umar Zakir, Moscow

Assalamualaikum. Tahniah fathi. Aku nk pi kemarin tp xdan. Barakallahulakuma.
- Amir Hamzah, Merbok
Assalamualaikum wrb akhi syed fathi. Tahniah atas mahligai yg dibina. Barakallahulakuma wa jama3a bainakuma fi kher. Ikhlas dr ana dan seluruh warga HaluanSiswa Mesir!
- Ahmad Harits, Mesir

Tahniah big boh. Baru napok gambo. Mabruk.
- Aizatt Ghazali, Moscow



Assalamualaikum fathi. Baarakallaahu laka, wa baaraka 'alaika, wa jama'a baynakumaa fii khair. Tahniah.
- Muhd Hairie Darrius


Asslmkm, Barakallah ya Syed Ahmad Fathi, moga menjadi suami ,sahabat,ayah dan guru yang baik dalam melayari bahtera rumahtangga. Maaf tak dapat bersama masa bahagia anta, doa kami dari jauh. Ini ada hadiah yg taklah seberapa. HARAP BERMANFAAT. P/S: first time ana tengok video ni, terus teringat kat anta, dulu d MATRI anta suka lukis kartun kecik2 ni kat buku anta.
- Firdaus Hashim, United Kingdom


InsyaALLAH. Moga ALLAH permudahkan penyatuan hati-hati insan soleh dan solehah ini.
Rumahtangga untuk mendekatkan diri dan menambah kecintaan kepada ALLAH.
- Ali Irfan Jamalludin, Bagan Datoh 


Salam, Tahniah akhi. Barakallah hulakuma wajama'a bainakuma filkhair.
- Muta'al, P. Pinang

Mabruk dan doa yang sama dari ambo. Fathi pengantin yang sempoi.
- Dr. baharudin Suri, Johor Bahru

Selalu doakan awak. Juga pemuda pemudi JB khususnya. Tanggungjawab bertambah, tup tup anak dah 20 tahun. Susun keluarga elok-elok. Material kena susun, ruuhi kena susun, JERIS kena susun.
- Cikgu Ismail Saliyan, Mutiara Rini

Mabrouk Syed Ahmad Fathi dengan ucapan: Barakallahulaka wa baraka alaika wajama'a bainakuma fi khair. Semoga Allah menganugerahkan barakah kepadamu, semoga allah menganugerahkan barakah atasmu, dan semoga dia menghimpun kalian berdua dalam kebaikan.
- Dr. Khairul Anuar, Fakulti Alam Bina UTM

Barakallahu lakuma. Wabaraka alaikuma. Wajama'a bainakuma fi khair. Kirim salam Maryam Jameelah. Nanti bawa ke rumah makcik tau! Kirim salam ummi.
- Makcik Mohaini, BBU

Assalamualaikum, akhi sori lambat wish, barakallahu lakuma wabaraka alaikuma wajama alaikuma fil khair. Sedih tak dapat pegi walimah anta. Takpe lar ada hikmahnya. Ana hantar wakil je. Hehehe.
-Ummar Uthman, Unimas

Tahniah Ahmad.
- Abu Zar, Loughborough

Tahniah akhi, selamat pengantin baru again. Hehehe.
- Elliya Alhan Murphy, KTD

Salam fathi, Tahniah weii. Semoga rumahtangga ang mendapat redha Allah dan menjadi rumah tangga yang sakinah, mawaddah wa rahmah. Aku kirim doa dari bumi Syam ja fathi, maaf wei tak dan nak balik bersama, jeles tengok sahabat2 berkumpul. Hehe.
- Anas Mokhtar, Jordan

Sila bertenang fathi. Semoga Allah permudahkan urusan majlis akad dan selamat berumah tangga. Robbuna yastur alaika ya Fathi, ana pulak yang berdebar kat sini.
- Izzat Ibrahim, Mesir

Salam akhi, selamat pengantin baru, minta maaf la tak dapat datang majlis, hari ni baru start kerja. Dah besar dah fathi nak jadi ketua keluarga, teringat sulu main baling-baling salji.
- Nasrul Azhim, Negeri Sembilan

Gudluck fathi, moga tak menggigil akad nanti, be strong brother. You know the sad part is, after this no more huha huha syed fathi dah, dah dengan isteri kan waaa. Hahaha.
- Ahmad Bashier, Kajang

Assalamualaikum fathi, Barakallahulakuma wa barokha alaikuma fil khoir. Semoga dipermudah.
- Khairul Izhar, Terengganu

Mabrouk sheikh. Semoga lancar majlis akad nanti. Inshallah. Hehe.
- Nadzmi Nazari, FKM UTM

Fathi, barakallah. Moga Allah permudahkan urusan anta esok. Cuma nak bagitau mungkin ana tak dapat hadir walimah anta. Yang 13hb tu, jiran ana kenduri jugak. Kbai.
- Segantang Helmi, UIA

Salam boss, wah esok dah nak aqad nikah, tahniah lagi, apa-apa pun all the best.
- Musthofa Syawal, UIA

Moga Allah bagi anta kekuatan ye Fathi, ntah la fathi, rasa lain macam bila anta nak walimah. Teruskan mai program, serius nak mai akad nikah anta tapi tak dak chance nak pi.
- Radhi Abdul Rahman, UniKL-MIAT

Taniah fathi. Takut tak leh mai.Moga Allah permudah urusan.
- Ikhwan Zulkifli, TLDM 

When I was lost, you show me the way. Thanks for all the good memories we shared. Really happy for your wedding. Congats bro!
- Hafiz Razali, Sg. Rengit 

Tahniah Fathi, you're a husband now! Jemput datang bukit changgang bersama isteri nanti :))
- Khalis Yunus, Arowana Satu 

Though we are different, I always felt that there is no boundary between us, you give me smile and laughter, bff for eva! Have a great marriage.
- Faiz Nadli, Marikh

Barakallahu lakuma fathi, be a good husband and good servant to Allah. Godbless!
- Ghalib Raduan, Pasir Gudang  


Jazakallah khairan diucapkan kepada semua yang mendoakan, sebenarnya banyak lagi ucapan. Inshallah akan saya coretkan di masa hadapan, dan update from time to time.