Khamis, 19 Mei 2011

Terdengar atau terbaca



"Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada kami dalam keadaan berbaring , duduk dan berdiri , tetapi setelah kami hilangkan bahaya itu darinya dia kembali (ke jalan yang sesat) , seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada kami untuk bahaya yang telah menimpanya.Demikianlah dijadikan terasa indah bagi orang-orang yang melampaui batas apa yang mereka kerjakan."

(Yunus:12)



Pernah anda terdengar atau terbaca? Bacalah dan fahamilah Al-Qur'an seolah-olah ia diturunkan khas buatmu.

Terkesan sampai kepada ayat ini.Kita manusia sering terlupa yang kita dahulu pernah berdoa dengan penuh harapan untuk sesuatu.Dan ALLAH yang Maha Mendengar dan Mengetahui mengabulkan doa itu atas kasih sayang dan rahmatnya.

Jadi jika sampai kepada satu saat ingin melakukan kemaksiatan ingatlah bahawa tidak malukah kita melakukan kesalahan kepada DIA yang pernah mengasihi kita dengan kasih sayang dan rahmatnya.

Pernahkah anda terdengar atau terbaca? Sekiranya anda berniat untuk melakukan kemaksiatan tangguhkanlah ia sehingga anda mungkin terlupa akannya.Tetapi jika anda ingin melakukan sesuatu amal baik maka segerakanlah ia.

Ahad, 8 Mei 2011

At-Taubah ayat 40



Mafhum ayat ke 40 Surah At-Taubah:

"Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya (yaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia berkata kepada temannya: "Janganlah kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita." Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya, dan Al-Quran menjadikan orang-orang kafir itulah yang rendah. Dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

Apabila sampai kepada ayat ini tersentuh di hati alangkah indahnya hidup menempuh perjuangan ini andai ada seorang sahabat disisi.Sahabat yang sentiasa memberi motivasi.

Memahami dan membisik ke telinga tentang adanya ALLAH bersama saat hati sudah kecewa sedih dan berputus asa.

Sabtu, 30 April 2011

Bagaimana menyentuh hati




Penerbit : Era Intermedia
Judul asal : At-Thariq ilal quluub
Penulis: Abbas As-Siisy

Buat mereka yang telah sedar. Buat mereka yang telah faham. Akan kewajipan membina semula bangunan Islam yang telah jatuh . Dengan membina semula pemuda-pemudi yang bakal menjadi batu-bata asas bangunan ini.

Maka Syeikh Abbas As-Siissy telah menulis buku indah ini sebagai bekalan , nasihat dan pengajaran kepada kita. Sarat dengan kisah-kisah yang terkesan di hati bagi menempuh jalan yang panjang ini.

Sebuah pembentangan yang menitik beratkan pentingnya kasih sayang dan cinta dalam seni membina pemuda-pemudi. Merungkai bertapa pentingnya membasahkan hati yang kering dengan siraman cinta dan kasih sayang bagi menyampaikan mesej suci.

Semoga bermanfaat.

p/s: Terima kasih Abg Zul bagi pinjam buku.Moga ALLAH redha.

Isnin, 25 April 2011

Agak-agak 10 peratus sampai tak?

Justin Bieber datang Malaysia.

Sibuk dengan para artis dan hiburan melampau.
Itukah Muslim?

Aurat bukan sahaja didedahkan bahkan dijaja disana sini.
Nama masih Muslim.

Perkataan dan percakapan dihiasi carutan , kotor dan lucah.
Tapi masih mengaku Muslim.

Solat lima waktu juga tidak lengkap 35 kali seminggu.
Muslim? Mestilah Muslim.

Hidup seharian penuh maksiat dan dosa tanpa ada penyesalan dan rasa untuk bertaubat.
Tapi Muslim tetap Muslim.

Langsung tidak menghargai ilmu dan menghormati guru.
Tetap juga mengaku pelajar Muslim.

Jadi berapa peratus nilai Muslim yang ada dalam diri?

Bukan kah title Muslim itu perlu diapplikasi dan dipamerkan dalam segenap aspek kehidupan? Dari buka mata di pagi hari sehingga lelap di malam hari.

Atau peratusan Muslim yang ada dalam diri mungkin satu peratus iaitu pada nama.
Jadi jika hanya satu peratus sahaja yang Muslim masih layakkah memegang title Muslim?

Ahad, 10 April 2011

Tak salah menegur yang salah mungkin caranya


Mempunyai rakan, sahabat , kawan dan teman merupakan satu nikmat yang tidak ternilai besarnya. Ia merupakan sesuatu yang manis dan berharga lebih-lebih lagi jika dasar persahabatan itu adalah keterikatan dua hati yang ikhlas dan jujur bersahabat hanya untuk mencari redha ALLAH SWT.

Sebagai rakan semestinya kita ingin melihat sahabat kita sentiasa bahagia dan gembira. Bertapa bahagianya kita jika senyuman yang diukir sahabat kita itu adalah hasil usaha kita.Kitalah yang meletakkan senyuman itu di wajahnya.

Sebagai rakan juga kita harus menegur perbuatannya jika ia lari dari landasan Islam. Sebagai tanda kasih sayang ingin bercinta hingga ke syurga. Namun teguran ini haruslah kita salurkan dengan baik , tidak terburu-buru dan berhati-hati agar persahabatan yang dibina terpelihara.

Tidak wajar kita menegur sahabat kita secara terbuka sehingga mengaibkannya di hadapan orang ramai. Begitu juga tidak wajar kita menjadikan teguran itu bahan lawak dan ejekan. Seharusnya ia di selitkan dengan berhati-hati agar ia lebih berkesan dan mudah diterima.

Hayatilah bingkisan sirah bagaimana cucu kepada Rasulullah SAW ingin membetulkan wudu' seorang lelaki tua. Beliau tidak terburu-buru menyatakan kesalahan lelaki tua tersebut tetapi meminta izin lelaki tua itu memeriksa wudu'nya. Dengan itu lelaki tua tersebut dapat mengetahui cara wudu' yang sebenar tanpa ada perasaan diperkecilkan. Inilah seni memberi nasihat yang kita harus dalami.

Jika niat untuk menegur itu sudah betul maka caranya juga harus betul. Semoga kita sama-sama dapat terus merasakan kemanisan ukhuwwah.

Selasa, 29 Mac 2011

Aku juga pernah menangis



Aku tidak selalu kuat , itu aku akui.
Aku juga pernah menangis saat aku bersendiri.

Aku ingin sekali jika kita bersama melangkah ke syurga.
Aku ingin memaksa dan menarik mu bersama.
Namun soal hati bukan aku yang punya.

Juga saat aku lemah.
Aku mengharap kau bisa memangku ku semula ,
keluar dari lembah yang hina.

Saat dirimu melakukan kemungkaran di depanku.
Hanya DIA yang tahu perasaanku.
Lebih pedih dari besi yang menusuk dan menembusi jasadku.

Alangkah indahnya jika kita semua dapat bersama.
Berjuang di bawah satu panji yang sama.
Sungguh aku ingin engkau disisi ku dalam satu barisan.
Dengan cinta sebagai ikatan.

Isnin, 28 Mac 2011

Hendak mati


Larilah sejauh mana pun mati tetap akan berada di sisi mu. Terbanglah setinggi mana pun mati tetap juga akan menjemput mu. Sejuta harta juga tidak dapat menyelamatkan mu. Begitu juga pangkat dan kuasa.Bila tiba masanya kita harus pergi juga.

Yang menarik mengenai mati adalah ia suatu yang pasti dan tidak pasti.Mati pasti akan menjemput kita. Tetapi yang kita tak pasti adalah bila dan di mana.

Kerana mati itu pasti maka pastilah juga kita hentak mati dalam keadaan yang diredhai dan di terima disisi ALLAH SWT. Oleh kerana kita tidak pasti bila kematian itu akan sampai maka perlulah kita menjaga amalan setiap masa.

Berusaha sedaya upaya agar tidak jatuh dalam kemaksiatan.Sentiasa kembali bertaubat apabila melakukan kemaksiatan dan menjaga niat dalam amalan. Takut-takut kematian itu tiba pada masa mana kita sedang melakukan maksiat kepada ALLAH.

Sabda Rasulullah yang di riwayatkan oleh Bukhari dan Muslim dalam sebuah hadis yang panjang maksudnya "..Demi ALLAH yang tiada ilah melainkannya , ada diantara kalian melakukan amalan ahli syurga sehingga jaraknya dengan syurga tinggal sehasta namun telah ditetapkan dia beramal dengan amalan ahli neraka maka masuklah dia ke dalam api neraka , sesungguhnya ada di antara kalian yang beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak dia dengan neraka tinggal sehasta namun telah ditetapkan dia beramal dengan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalam syurga".

Jumaat, 4 Mac 2011

Buktikanlah




"Faham ke murid-murid?" tanya cikgu selepas selesai menerangkan pelajaran yang ingin di sampaikan. Sambil melihat kepada semua murid-muridnya.

"Ok ada soalan tak?" tanya cikgu lagi inginkan kepastian adakah murid-muridnya faham apa yang telah diajar. "Kamu macam ada soalan je Leya" tanya cikgu kerana melihat muka muridnya itu seperti ada soalan yang terbuku.

"Tak ada cikgu" jawab Leya ringkas.


Setelah sekian lama tiba lah musim peperiksaan bagi menguji kefahaman murid-murid sekalian. Setelah musim peperiksaan berlalu. Guru-guru pun menanda kertas murid-murid dan memulangkannya semula.

"Leya mari sini sekejap" panggil cikgu apabila tiba gilirannya mengambil markah.

"Cikgu tengok dalam banyak-banyak soalan satu je yang kamu jawab betul.Betul ke kamu faham apa yang cikgu ajar nih? soal cikgu kepadanya.

"Alamak nak cakap apa nih" gumam hati Leya.

Begitulah contoh ringkas mengenai perlunya amalan bagi membuktikan kefahaman. Jika kita faham akan sesuatu perkara kita akan membuktikannya dengan amalan dan perilaku.

Sekiranya pemahaman di dalam kelas di buktikan ketika menjawab peperiksaan begitu juga kefahaman dan kesedaran kita terhadap agama Islam yang perlu di buktikan dengan amalan dan perilaku harian.

Sekiranya kita faham mengenai suruhan dan juga larangan ALLAH bukti kefahaman kita adalah dengan melakukan segala apa yang diperintahkan dan menjauhi segala yang di larang. Ambil sedikit masa untuk termenung. Betulkah kita telah benar-benar faham. Jika kita yakin kita sudah faham maka di mana pula buktinya?

Selasa, 15 Februari 2011

Salam maulidur rasul



Bersyukur kepada Allah SWT kita dapat lagi hidup sehingga ke saat ini.Merasai nikmat yang bukan setiap manusia dapat merasainya.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Rasulullah SAW kerana dengan titik peluh dan darah perjuangan baginda dan para sahabat , Islam dapat sampai kepada kita hari ini.

Merentas seluruh dunia. Ummat Islam menyambut kelahiran junjungan besar dengan cara tersendiri mengikut kesesuaian setempat. Namun apa signifikan sambutan ini sebenarnya?

Kita melihat ramai yang membuat status di facebook dan laman-laman sosial lain menunjukkan bertapa mereka menyambut dan membesarkan hari kelahiran nabi. Namun adakah ini semua cukup? Adakah begini sambutan yang sepatutnya?

Sekali setahun memperingati dan menghayati perjuangan junjungan besar amat tidak berpatutan.Kerana baginda menghabiskan hampir semua hidup baginda sebagai tanda kasih sayangnya kepada ummat menyebarkan Islam sampai kepada kita.

Sambutan yang sepatutnya adalah yang membuahkan kesedaran. Dan kesedaran itu pula adalah sia-sia jika tidak membuahkan amalan dan tindakan. Sebagai tanda hormat sayang dan kasih kita kepada Rasulullah seharusnya kita mengikuti dan mengamalkan ajaran beliau setiap hari.

Bukan hanya menyambut sekali setahun tetapi setiap hari.

Ambil sedikit masa . Tanyalah pada diri sendiri. Apa nilai hari ini yang kita lalui. Adakah selari dengan apa yang diperjuangkan oleh nabi?

Salam maulidur rasul.

Rindu




Andai lenaku terlalu panjang hingga tak sedar mentari bersinar.
Aku mengharap ikhlas mu menggoncang tubuhku agar kembali sedar.

Andai lorong yang ku pilih menuju kelam gelita.
Harap diri mu sudi memimpin tanganku bak cahaya pelita.

Aku tahu diri ini tak gagah laksana perwira di medan perang.
Juga bukan menteri yang bijak bersuara lantang.

Cukup aku insan biasa.
Mengharap teguran setiap masa.

Jangan engkau lepaskan tanganku membiar aku terjatuh.
Saat daku degil tidak menerima nasihat kerana angkuh.

Saat aku sudah buta tak mampu berbicara.
Harap ada yang sudi membisik harapan sebagai saudara.

Ingatkan aku kecilnya nilai sejuta harta.
Andai dahi tidak melekat di tanah menyembah pencipta.

Ingatkan aku gelak tawa dan hiburan akan terhenti.
Kerna akhir kita ke kubur juga nanti.

Ku rindu dakapanmu semua erat.
Ku rindu kalian wahai sahabat.

Isnin, 24 Januari 2011

Susah susah sahaja



Tengah tension ke? Stress? Kenapa tak hisap rokok?
Tak nak rokok ada shisha?

Rasa kesunyian? Ingin merasa dicintai dan mencintai?
Kenapa tak couple je?

Tiap-tiap hari pergi kelas? Balik kelas ulangkaji lagi?
Tak penat ke? Kenapa tak ponteng je sekali sekala?

Kenapa susah-susah nak pergi Masjid hari jumaat?
Masjid dah la jauh sesak pulak , kenapa tak solat kat rumah je?

Kenapa semangat sangat bangun awal pagi pergi jogging?
Layan sambung tidur sampai petang kan sedap?

Kenapa tak pakai short je main bola? Kenapa semangat
sangat nak tutup lutut?

Kenapa nak susah-susah usrah sana sini? Kenapa tak baca buku agama
sorang-sorang je kat bilik?

Kenapa tak makan je dekat McDonald? Kenapa tak makan je burger ayam
atau daging? Walaupun tak sembelih ayam tetap ayam kan , bukanya babi?

Kenapa pening-pening nak jaga waktu solat? Kenapa tak jama' je semua?



Kerana hidup ada tujuan.

Rabu, 19 Januari 2011

Memandang sebuah kehidupan




Sepuluh tahun yang lalu aku hanya seorang budak sekolah . Hidup berlegar disekitar sekolah.Ilmu yang diterima lebih kepada suapan.Apa yang diajar oleh guru di sekolah itulah ilmu yang di telan. Banyak perkara yang diajar dihadam lebih melalui hafalan berbanding pemahaman. Dan kadangkala apa yang dihafal itu tidak pun di fahami.

Sepuluh tahun sebelum sepuluh tahun di sekolah pula aku hanya seorang anak kecil. Saat itu yang aku kenal hanya ibu dan ayah. Kakak dan adik. Hidup berlegar-legar di rumah dan berkepit dengan ibu. Bila rasa ibu tak ada atau rasa tidak selamat yang aku tahu adalah menangis. Selepas menangis keadaan akan kembali tenang bagi ku.

Aku telah melepasi sepuluh pertama dan juga sepuluh yang ke dua. Kini aku berada di permulaan sepuluh yang ketiga.Sepuluh yang ketiga adalah waktu yang tidak kurang pentingnya kerana di tempoh ini akan berlaku banyak perubahan yang akan menentukan kehidupan pada sepuluh yang keempat.

Di tempoh ini akan bermula pelbagai perkara baru yang tidak ada pada sepuluh pertama dan sepuluh kedua. Di tempoh ini akan bermula percintaan , pekerjaan , perkahwinan. Bermula kesedaran tentang keewangan , kehendak kepada permilikan harta dan material. Di tempoh ini kita akan berdepan dengan pilihan dan keputusan yang harus dipilih sendiri tanpa ada lagi suapan.

Kerana pentingnya hidup pada sepuluh yang ketiga ini maka lebih penting lagi bagi kita untuk memahami hakikat sebenar kehidupan. Kerana jika tidak jelas hakikat ini maka kita akan tersasar semasa membuat pilihan dan keputusan. Terjatuh dan mungkin tersesat pada sepuluh yang seterusnya.Maka apakah hakikat kehidupan kita?

Hakikat kehidupan kita terkandung dalam Surah Az-Zariyat ayat ke 56. Bacalah ayat ini dengan pemahaman yang matang dan serius.Bukan pemahaman ketika di sepuluh yang pertama atau kedua. Pentingnya kita jelas akan hakikat ini bukan sahaja dapat menjamin kehidupan kita sepuluh tahun lagi.Bahkan dapat menjamin kehidupan kita beratus ribu tahun lagi. Wallahualam.

Sabtu, 8 Januari 2011

Agar tidak menjadi debu.


Andai engkau telah sampai ke peluh yang terakhir.
Lengkapilah titisan-titisan peluh itu dengan tawakkal dan harapan.

Andai di hujung jalanmu adalah kekecewaan.
Ketahuilah bahawa setiap peluh yang terhasil tidak sia-sia.
Andai tulus niat di permulaan.

Andai esok engkau di takdirkan gagal.
Teruskanlah usahamu pada hari lusa dan seterusnya.

Andai kata engkau merasakan putus asa.
Sedarlah semula bahawa DIA sentiasa ada.

Andai dihujung jalanmu adalah kegembiraan.
Ketahuilah bahawa ia bukan dari peluh-peluh mu itu.
Tapi dari rahmat dan kasih sayang NYA.

Andai esok engkau ditakdirkan berjaya.
Jangan engkau lupa jasa mereka yang membantumu.

Moga segala yang engkau korbankan disimpul bersama ikhlas.
Kerana tanpa simpulan ikhlas usahamu bak debu.

Moga segala keputusan dapat diterima dengan simpulan redha.
Kerana simpulan redha adalah tanda keimananmu.






Ahad, 12 Disember 2010

Bodoh sombong dan berjaya


Sebastian (bukan nama sebenar) merupakan seorang yang rajin. Belajar siang malam. Pergi mana-mana bawa buku.Sebastian dengan buku boleh diumpamakan bagai pasangan yang hangat bercinta. Selalu melekat bersama. Dia juga tak pernah 'miss' kelas. Hormat guru. Memang lengkap lah. Namun dia tak pernah berdoa kepada ALLAH untuk memohon kejayaan. Kita kategorikan dia dalam kategori satu iaitu sombong.

Lain pula kisahnya dengan Allen (juga bukan nama sebenar). Dapat masuk universiti kerana nasib baik. Di kelas Allen macam 'chipsmore' sekejap ada sekejap tiada. Kalau nak tengok Allen ni study memang satu usaha yang sia-sia. Tak pernah nak berusaha. Kerja rumah semua tiru. Boleh kata usaha memang 'zero percent' . Malas punya Allen nih bukan takat usaha , nak berdoa minta kejayaan pun malas. Kita kategorikan dia dalam kategori dua iaitu bodoh sombong.

Si Martin (nama samaran) juga berbeza kisahnya. Nak cerita alimnya Martin nih pagi berdoa , tengahari berdoa lagi , petang pon doa juga . Sebelum tidur pun Martin berdoa mengharap pertolongan dan kejayaan dari ALLAH. Tapi yang kurangnya Martin ini adalah usaha. Walaupun pagi petang siang malam Martin berdoa satu helai 'page' pun dia tak pernah baca. Macam mana nak baca sebab buku teks pun tak ada. Tak pinjam kat perpustakaan. Kita kategorikan dia dalam kategori tiga iaitu bodoh.

Yang tinggal adalah Robbie (juga nama samaran). Robbie nih kalau nak dikatakan pandai tak juga. Sebab selalu dapat markah average sahaja. Tapi jika dilihat usaha yang Robbie buat memang boleh tabik. Tumpuan dalam kelas seratus peratus. Balik hostel buat revision. Robbie juga sentiasa berdoa kepada ALLAH agar menerima segala peluh yang terhasil dari penat usahanya diterima ALLAH sebagai ibadah. Robbie juga berdoa agar dia dikurniakan kejayaan. Kita kategorikan dia dalam kategori empat iaitu berjaya.

Jumaat, 26 November 2010

Setiap saat yang berlalu


"Sedar-sedar dah pukul 5 pagi"

Mungkin itu satu dailog yang biasa bagi seseorang apabila melakukan sesuatu perkara. Atau dengan kata lain 'doing something that you enjoy'. Keadaan minda akan terasa masa berlalu dengan pantas apabila sibuk melakukan sesuatu perkara. Sebaliknya ia berjalan dengan perlahan jika dihabiskan dengan tidak membuat apa-apa.Contohnya ketika menunggu sesuatu atau seseorang.Masa akan terasa panjang. Ia akan menjadi lebih panjang apabila yang ditunggu adalah sesuatu yang mendebarkan.

Namun secara realiti dan logik akal ,masa yang dirasakan lama dan pendek itu adalah sama. Jika masa menunggu sesuatu adalah 1 jam ia tetap sama 1 jam jika masa itu digunakan untuk melakukan sesuatu perkara.Tidak akan ada perubahan dari segi nilai minit dan saat yang terkandung dalam 1 jam.

Kita dapat lihat pelbagai ungkapan mengenai masa bagi mendefinisikan masa seperti "Masa adalah kehidupan" . "Time you enjoy wasting is not a wasted time". Namun dengan definisi ini kita masih belum dapat menghargai masa sebagaimana yang sepatutnya. Seperti kita tidak dapat menghargai kesihatan hingga kita jatuh sakit. Dan adakah kita akan dapat menghargai masa hanya bila kita sudah tiada masa? Dengan kata lain sudah terlambat atau dalam bahasa Inggeris "When your life is at the end , what would you feel if you were given another tomorrow?"

Isu masa sangat kritikal kerana setiap saat yang sudah terlepas mustahil dapat diraih semula.Atau dengan kata mudah "There's no second chance". Jadi pastikan ada sesuatu yang berharga dan dapat diraih seiring dengan masa yang berlalu.

"Ponder every second you have , because you'll never feel it again. You only got one shot "