Memaparkan catatan dengan label Tokoh. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tokoh. Papar semua catatan

Sabtu, 21 November 2020

L'Egypte Resplendit des Feux de Son Aurore


Petanda bagi menentukan sesuatu buku itu sangat menarik, pada hemat saya, salah satunya adalah kemampuannya menyebabkan pembaca terhenti, dan merasa terdesak untuk menuliskan apa yang dia dapati dari pembacaan. Inilah yang berlaku semasa saya menelaah buku hasil penelitian dan kajian Prof. Edward Said yang bertajuk Orientalism: Western Conceptions of the Orient. Selepas menuliskan pendahuluan, rasional kajian, sebab kajian, skop, juga huraian definisi. Said membedah sejarah permulaan Orientalis moden, iaitu ekspedisi Napoleon Bonaparte ke Mesir.

Napoleon mempunyai cita-cita yang tinggi, beliau mahu menakluki keseluruhan Mesir. Untuk itu beliau membuat perancangan yang sangat rapi, perancangan yang sangat skematik, saintifik, methodikal dan tekstual. Tiga sebab membuatkan Napoleon mengambil keputusan untuk menawan Mesir. Pertama, kejayaan ketenteraannya menyebabkan tiada lagi kawasan untuk dikembangkan keagungannya melainkan ke Timur. Kedua, Napoleon sejak mudanya memang meminati Orient, beliau melihatnya sebagai satu tempat yang mampu memberinya keagungan seperti apa yang dicapai oleh Alexander. Ketiga, beliau berpendapat bahawa Mesir merupakan kawasan yang sudah difahami dan dipelajari dari sudut strategi dan sejarah - jadi ia mudah ditawan. Ekspedisi Napoleon bukan merupakan ekspedisi ketenteraan biasa, beliau membawa bersamanya sekumpulan 167 saintis. Bagi Said, ia adalah ekspedisi pertama keilmuan dalam bidang Orientalis digunakan bagi tujuan kolonial. (80)

Pengetahuan Napoleon perihal Mesir banyak bergantung dari tulisan pengembaraan Comte de Volney. Bagi Napoleon yang membaca Volney, ada tiga halangan utama hegemoni Perancis keatas dunia Orient, iaitu England, Ottoman, dan yang ketiga, yang paling sukar adalah Muslim. (81) Penulis Arab awal perihal ekspedisi ini, Abd-al-Rahman al-Jabarti kagum dengan kelicikan strategi Napoleon, beliau mengagumi taktik Napoleon yang menggunakan para cendiakawan untuk menguruskan masyarakat peribumi, beliau sentiasa meletakkan dirinya dalam posisi yang kelihatan seperti berjuang untuk Islam, dan setiap ucapan beliau diterjemah ke Bahasa Arab Al-Qur'an. Beliau sentiasa memperingatkan tenteranya untuk menjaga sensitiviti umat Islam. (82)

Apabila terbukti bilangan tenteranya tidak dapat menandingi tentera Mesir, beliau menggunakan imam tempatan, qadhi, mufti, dan ulama' untuk menafsirkan Al-Qur'an untuk kepentingannya. Seramai 60 ulama' Al-Azhar diundang dan diberi pangkat ketenteraan, Napoleon diperlihatkan dirinya sebagai insan yang menghargai Islam dan Nabi Muhammad, juga faham selok belok Al-Qur'an. Beliau memberikan arahan yang spesifik kepada pembantunya Kleber agar sentiasa mentadbir Mesir melalui cendiakawan Orientalis dan juga pemimpin agama tempatan. Strategi ini berkesan, ia membuatkan masyarakat peribumi percaya kepada penjajah yang menjajahnya. (82) Strategi ini dipuji oleh Hugo dalam puisinya Lui:

L'Egypte resplendit des feux de son aurore...
Sublime, il apparut aux tribus eblouies,
Comme un Mahomet d'occident.

(Egypt shines with the fire of his dawn...
Sublime, he appeared to the dazzled tribes
Like a Mahomet of the Occident.) (82-83)

Hampir serta merta selepas penaklukannya di Mesir, golongan saintis yang dibawa yang merupakan sebahagian dari Institut d'Egypte yang diasaskan oleh Napoleon yang terdiri daripada ahli kimia, sejarawan, biologis, arkeologis memulakan eksperimen dan kajian mereka. Semua yang dikaji, didengar, dan dilihat direkodkan, hasilnya adalah penerbitan Description de l'Egypte yang begitu besar dan tebal sebanyak 23 jilid. Napoleon bukan sahaja mahu menawan Mesir, termasuk dalam perancangan dominasinya adalah untuk membukanya sebagai objek kajian Eropah, Mesir menjadi sebuah jabatan untuk dipelajari oleh orang Perancis. (83-84)

Dalam bab pendahuluan Description yang ditulis oleh Jean-Baptiste-Joseph Fourier, setiausaha institut, Fourier memberi justifikasi akan projek penjajahan dan kolonial Perancis ini, menurutnya Mesir yang agung telah jatuh kepada barbarism, oleh itu ia memerlukan penyelamat. Penjajah dipotretkan sebagai hero penyelamat, yang akan memberikan mereka kehidupan yang lebih baik, juga menghadiahkan mereka kelebihan peradaban. (85)

Pembacaan saya perihal sejarah ekspedisi Napoleon Bonaparte ini belum lagi dihabisi, ini merupakan nota awal bacaan saya, yang membuatkan saya teruja untuk menulis dan berkongsi perihalnya. Perihal bagaimana ekspedisi kolonial dirancang dengan begitu saintifik, ilmu orientalis perihal masyarakat peribumi digunakan untuk menakluk mereka sendiri, dan bagaimana dengan kekuatan intelektual dan ketenteraan kolonial, sejarah ditulis untuk membersihkan kerja-kerja mereka, menjadikan mereka hero di dalam helaian sejarah.

Jumaat, 6 November 2020

Memperingati Robert Fisk


Buku Buku Robert Fisk perihal tragedi peperangan di Timur Tengah merupakan buku yang paling besar dan tebal di dalam rak buku saya. Buku yang bertajuk The Great War for Civilization ini mengalahkan ketebalan buku Trotsky perihal sejarah revolusi Russia. Buku beliau saya beli 2 tahun lepas, namun sehingga hari ini saya takut untuk membacanya kerana terlalu tebal, mungkin saya akan abadikan setahun pada tahun hadapan untuk membaca buku tersebut.

Syarahan-syarahan beliau merupakan antara menu makanan kegemaran saya sekiranya saya merayau-rayau di Youtube. Pengalaman beliau sememangnya tidak dapat ditandingi. Pemikiran beliau penuh dengan penghormatan kepada nyawa dan penolakan pada peperangan. Robert Fisk merupakan sosok wartawan yang tidak asing dalam penulisan perihal perang dan konflik dunia. Beliau pernah 3 kali menemu ramah Osama bin Laden. Beliau juga antara wartawan yang ada di Shabra dan Shatila semasa pembunuhan pelarian Palestin berlaku semasa pencerobohan Israel di Lubnan pada 1982. Beliau melihat sendiri darah panas yang mengalir dari tubuh wanita yang dibunuh di kem pelarian dan pembunuhnya dilihat keluar dari pintu hadapan rumah. Fisk merupakan seorang wartawan yang sangat berprinsip, padanya tugas wartawan adalah untuk melaporkan keganasan yang dilakukan oleh kerajaan dan pihak berkuasa, terutamanya jika mereka berperang.

Selepas menyaksikan kekejaman perang demi perang, Fisk berubah menjadi sosok yang begitu anti kepada perang. Baginya ahli politik mudah mengishtihar perang kerana bukan mereka yang akan berperang, para presiden tidak pernah turun ke medan perang, menyaksikan tangan atau kepala yang berkecai ditusuk peluru dan bom. Kaca televisyen juga tidak menunjukkan imej-imej ngeri perang, mayat tidak ditunjuk kerana menghormati orang yang mati, padahal tidak dihormati semasa hidup sebelum dibunuh. Ini menjadikan masyarakat public tidak melihat sendiri apa sebenarnya perang, kemusnahan dan penderitaan yang dialami manusia. Mereka hanya memahami perang melalui kacamata Hollywood.

Pada 30 Oktober 2020, dunia menangisi pemergian Robert Fisk yang berumur 74 tahun. Beliau merupakan wartawan perang yang disegani di seluruh dunia. Tulisan kecil ini adalah tribute kecil buat beliau yang menyumbang besar kepada manusia dan kemanusiaan. Fisk mendapat pengaruh kuat dari ayahnya perihal perang, ayahnya merupakan bekas askar dan sangat obses dengan perang, di rumahnya ayahnya menggantung gambar Churchill, hanya selepas ayahnya mati gambar tersebut diturunkan. Beliau berkhidmat di The London Times sebelum berhenti kerana bagi beliau integriti The Times telah dirosakkan selepas dibeli oleh Rupert Murdoch, untuk menjadi wartawan yang baik, bagi Fisk, beliau memerlukan seorang editor yang menerbitkan apa yang wartawan inginkan, bukan apa yang dimahukan oleh pemilik syarikat. Bagi Fisk wartawan yang baik perlu diberi peluang untuk fokus kepada satu lapangan, memahami bahasa dan budaya setempat, bukan dipindah-pindahkan. Falsafah ini mungkin berbeza dengan apa yang diajarkan kepada kita hari ini, bahawa untuk survival masa hadapan, kita perlu menjadi seorang yang tahu serba serbi, tahu akan pelbagai pengetahuan umum, menjadi seorang yang generalist, bagi Fisk hal ini hanya menjadikan seseorang itu “knows about everything and everything about nothing”. Bagi Fisk tugas sebagai wartawan yang melaporkan kepada dunia tentang situasi perang adalah tugas yang sangat berbahaya, membuatkan seseorang berasa sepi dan terasing, juga membuatkan seseorang jatuh murung melihat segala keganasan dan kengerian perang, tidak sedikit rakan-rakan wartawan beliau yang terkorban di medan perang. Bagi mereka yang ingin menjadi wartawan Fisk menasihatkan agar mereka perlu mempunyai minat yang tinggi, mereka juga perlu banyak membaca, bacaan wajib bagi beliau untuk wartawan perang adalah War and Peace tulisan Tolstoy yang mana bagi beliau memberikan pemahaman yang baik tentang apa itu peperangan. Selain itu pelajar bidang kewartawanan harus membaca puisi-puisi dari medan perang, juga sentiasa membawa buku sejarah di dalam beg mereka. Beliau sendiri kadang kala membaca 18 jam sehari. Selain itu wartawan yang baik bagi Fisk perlu diberi kebebasan untuk menulis dengan penuh rasa marah dan menulis dengan jelas pihak mana yang melakukan kejahatan, bagi beliau jika dia menyaksikan pembunuhan, dia tidak akan teragak-agak untuk menulis siapa pembunuhnya dan kenapa dia membunuh. Dalam perang, bagi Fisk semua pihak melakukan kejahatan, kata beliau “there is no good guy in war”. Dalam filem kita mungkin didoktrinkan bahawa perang adalah perihal kemenangan dan kekalahan, tetapi sebenarnya perang adalah tanda kerosakan total pada diri manusia, perang adalah tentang kematian dan pembunuhan. Tugas wartawan perang pada Fisk bukan untuk duduk mendengar kenyataan ahli politik, atau bersembang dengan pegawai diplomatik, atau menghadiri sidang akhbar, atau mendengar pandangan pusat pemikir perihal perang, tetapi tugas mereka adalah di jalanan, di medan tempur, di hospital, menyaksikan sejarah, menemubual mangsa dan memberi suara kepada mereka, dan menulis dan merekodkan penderitaan mereka. Wartawan bagi Fisk perlu ada di lapangan, jika tidak, bagi Fisk, tiada gunanya menjadi wartawan. Apakah misi hidup Fisk? Beliau menceritakan bahawa beliau pernah memasuki hospital di Beirut, dan melihat anak-anak yang telah putus tangannya, permandangan yang akan menyebabkan manusia biasa akan muntah setiap pagi, dan di kaca televisyen ahli politik bercakap perihal bagaimana genjatan senjata tidak boleh dilakukan. Bagi beliau para pemimpin dunia tidak kisah akan mangsa perang, kerana pengalaman perang mereka hanya melalui kaca televisyen, mereka tidak pernah menyaksikan kengerian perang di depan mata mereka. Kita perlu jujur dalam perkataan kita kata Fisk, bukan hanya Al-Qaeda melakukan jenayah perang tetapi semua pihak termasuk tentera Barat dan Amerika. Tugas wartawan adalah melaporkan semua ini kepada dunia sehingga dunia tidak boleh berkata “nobody tells me, I didn’t know”. Misi beliau adalah untuk memantau pusat-pusat kuasa, untuk mencabar authority setiap masa terutamanya apabila mereka berperang, membunuh manusia, dan menipu perihalnya. Bagi Fisk apa yang menyedihkan adalah kebanyakan wartawan tidak melakukan tugas ini, mereka hanya melaporkan apa yang diberitahu kepada mereka oleh pihak yang memegang kuasa, mereka berpelukan dengan pihak berkuasa, bagi Fisk mereka bukan wartawan tetapi hanya jurucakap penguasa. Bagi Fisk apa yang dilihatnya sangat dahsyat sehingga ia memberinya semangat untuk menulis dengan lebih bebas, untuk melaporkan apa yang terjadi dengan benar. Fisk mengkritik wartawan Amerika yang tidak mahu menjadi sosok kontroversi, wartawan yang patuh kepada pihak berkuasa dan mahu hanya “safe journalism”. Mereka menulis menggunakan euphemism dan terma yang yang dibenarkan oleh pihak berkuasa, dalam konflik Palestin sebagai contoh, tembok ditulis sebagai pagar, dan penjajahan ditulis sebagai pertikaian, perkara ini memberi gambaran yang salah kepada pembaca, mereka akhirnya gagal memahami situasi sebenar, mereka tidak faham kenapa anak-anak Palestin membaling batu kerana pertikaian sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah sambil minum secawan teh. Apa yang ditayangkan di kaca televisyen juga memberi kefahaman yang salah perihal perang. Televisyen tidak mahu menunjukkan imej-imej ngeri dari medan perang, kepala kanak-kanak yang berkecai, wanita yang cedera penuh dengan tusukan sisa bom, ia tidak dibenarkan ditayangkan. Mayat tidak ditunjukkan sebagai menghormati mereka yang telah mati, walhal ketika mereka hidup mereka tidak dihormati, mereka dijajah, dibunuh, tetapi apabila mereka mati mereka perlu dihormati? Hal ini tidak masuk akal bagi Fisk, tanpa menunjukkan imej-imej perang ini masyarakat gagal memahami apa itu perang, mereka tidak akan menentang pemimpin mereka yang melancarkan perang. Jika mereka melihat apa yang wartawan lihat di medan perang fikir Fisk, tiada siapa yang akan menyokong peperangan. Apabila imej-imej perang Vietnam keluar kepada masyarakat awam sebagai contoh, ia menjadi kemelut politik yang akhirnya menghentikan perang. Pembunuhan pelarian Palestin di Shabra dan Shatila oleh Militia Kristian Phalange yang dihantar oleh Israel semasa pencerobohan Israel keatas Lubnan merupakan antara peristiwa yang mengubah pandangan Fisk kepada perang. Beliau antara individu yang merupakan saksi kejadian tersebut, beliau melihat sendiri pembunuh-pembunuh yang memasuki kem, mayat busuk bergelimpangan, mayat wanita yang darahnya masih panas mengalir, bagi beliau, beliau tidak pernah menyaksikan kekejaman seperti itu, ia membuatkan beliau termenung tanpa kata-kata, malam selepas pembunuhan itu beliau berubah dan mula menulis dengan penuh amarah perihal perang. Bagi beliau wartawan perlu menulis dengan marah perihal perang. Apabila kekejaman berlaku, Fisk menolak konsep neutraliti, bagi beliau kita sentiasa perlu berpihak kepada mangsa kekejaman dan tidak bersifat neutral. Ia cocok dengan falsafah Howard Zinn yang mengatakan bahawa “you cannot be neutral on a moving train”. Kita perlu sentiasa menunujukkan pihak yang melakukan kekejaman, siapa pun mereka. Kita perlu mengutuk Syria apabila mereka melakukan pembunuhan di Hama, mengutuk Iraq apabila mereka membunuh, mengutuk Israel apabila mereka membunuh pelarian di Lubnan, mengutuk Palestin apabila mereka mengebom kanak-kanak. Bagi Fisk siapa sahaja melakukan kekejaman perlu dikutuk, dan kita berhak untuk tidak neutral dalam menghadapi kekejaman. Fisk sentiasa melihat kebaikan pada masyarakat awam yang menjadi mangsa perang, beliau menceritakan bagaimana keluarga yang sedang dibedil oleh Israel, keluar ke jalanan untuk mambawanya masuk kerumah mereka agar dia tidak dibunuh, mereka melakukannya walaupun mereka tidak perlu melakukannya, walaupun mereka berbeza agama dengannya. Bagi Fisk, di Timur Tengah beliau hidup dengan manusia yang masih beriman dengan agama sementara Barat sudah meninggalkan agama, bagi Fisk ia tidak dihargai Barat, Barat tidak membaca sejarah sedangkan mereka di Timur Tengah sangat berpegang kuat dan mengingati sejarah mereka. Bagi Fisk, selepas menyaksikan kekejaman yang dilakukan oleh Barat keatas dunia Islam, beliau sangat kagum dengan kesabaran orang-orang Islam, beliau sangat kagum mereka tidak membalas dendam dengan lebih banyak serangan seperti 11 September. Selepas hidup bersama Muslim sekian lama di Timur Tengah, Fisk merasakan dia tidak pernah merasakan dilayan berbeza, seolah-olah masyarakat disana tidak membezakan antara muslim dan non-muslim dari segi layanan dan persahabatan. Bagi Fisk, Barat sudah kehilangan agama mereka, sedangkan orang-orang Islam masih berdiri teguh dengan agama mereka, dan Barat mempunyai kuasa untuk memaksa ketidakpercayaan mereka sedangkan orang-orang Islam tidak punya kuasa tentera dan politik untuk mempertahankan diri mereka. Fisk mendapati kebanyakan Muslim yang ditemuinya adalah moderat, kita semua adalah manusia biasa baginya. Apabila manusia ditekan, dipukul, dijajah, walaupun dia seorang liberal yang lemah lembut akan berubah menjadi harimau. Apabila kita menyerang manusia bertalu-talu kerana agamanya, bangsanya, mengapa kita hairan jika mereka tidak suka kepada kita tanya Fisk, kemudian kita bertanya mengapa mereka membenci nilai dan demokrasi kita? Kehilangan Fisk sememangnya merupakan kehilangan besar kepada dunia. Dunia kehilangan seorang tokoh wartawan yang sangat setia kepada moral dan integriti. Wartawan yang jujur, yang berani melaporkan kebenaran dihadapan kuasa-kuasa besar. Tulisan-tulisan Fisk akan menjadi harta yang sangat berharga untuk manusia. Bagi mereka yang ingin mendalami dengan lebih dekat sosok wartawan yang disegani ini, saya mencadangkan agar anda membaca karya beliau sendiri, antara yang boleh dibaca adalah bukunya perihal tragedi perang di Timur Tengah yang bertajuk The Great War for Civilisation: The Conquest of Middle East.

Antara petikan kata-kata (quotes) Robert Fisk:

"War is primarily not about victory or defeat but about death and the infliction of death. It represents the total failure of the human spirit".

"It's a journalist's job to be a witness to history. We're not there to worry about ourselves. We're there to try and get as near as we can, in an imperfect world, to the truth and get the truth out".

Robert Fisk, 12 Julai 1946 - 30 Oktober 2020.

Khamis, 3 Julai 2014

Mengenang Murobbiku Ustaz Dahlan Mohd Zain


Penulis: Hilal Asyraf
Tajuk: Mengenang Murobbiku Ustaz Dahlan Mohd Zain

Sudah hampir 7 tahun rasanya keluar dari kepompong tarbiyah di MATRI, begitu pantas masa berlalu, lawatanku ke sana kali terakhir semasa reunion sedikit sebanyak mengubat rindu, namun kini MATRI bukan lagi seperti dulu, kini banyak bangunan baru, mungkin beberapa tahun lagi ia akan berubah 100 peratus. Cuma bangunan musolla masih kekal seperti dulu, binaan kayu, sentimental. Blog ini pun sudah berubah, hampir menjadi book review site, mungkin penulisnya lebih minat membaca dari menulis.

Apa pun Alhamdulillah, saya sempat menghabiskan pembacaan hasil tangan Hilal Asyraf ini baru-baru ini, mungkin ini kali pertama saya membaca hasil karya beliau. Belum berkesempatan membaca karya lain hasil penulisan penulis muda sensasi, kontroversi dan sensasi ini. Membelek gambar-gambar lama didalamnya membuatkan daku terkenang saat-saat lama, saat masih bujang, berjiwa rebel, saat MATRI belum pesat pembangunan infrastukturnya, masih serdehana.

Saya sendiri tiada pengalaman peribadi bersama Al-Fadhil Mudir, cuma di tingkatan satu ada bersama dalam kelas tulisan khat, namun tidak banyak yang saya ingati. Mungkin yang paling saya ingat pun semasa tingkatan 3, waktu itu saya baru menerima hukuman rotan di khalayak umum, jadi saya perlukan sedikit masa untuk balik bercuti, tenangkan fikiran dan muhasabah diri. Jadi saya bertemu Ustaz bersama kakak untuk minta kebenaran, namun tidak di izinkan.

Ya, selepas saya keluar dari sekolah baru saya sedar, ada sesuatu yang lebih dari sekadar sekolah yang diasaskan oleh Ustaz, satu generasi baru, generasi yang jiwanya adalah jiwa Islam, emosinya adalah emosi Islam, generasi yang keluar dan melakukan kebaikan dan pembaikan dalam masyarakat.

Tulisan Hilal ini yang memberi fokus kepada pengalaman bersama Ustaz di hujung usianya sememangnya merupakan satu coretan yang berharga, buat ingatan dan semangat buat generasi mendatang, bukan untuk memuja berlebihan. Kerana ramai orang yang boleh menjadi ustaz atau agamawan, tapi bukan semua orang mampu menjadi murobbi yang membina generasi. Cuma komen saya untuk penambahbaikan, mungkin perlu ada pengalaman dari orang-orang yang berada bersama Ustaz dimasa-masa mudanya, pengalaman bersama-sama membina dan membangun sekolah, berprogram dan berjaulah. 

Tahniah saya ucapkan buat penulisan yang berharga ini, semoga ia menjadi saham akhirat!

Ahad, 9 Mac 2014

Cara untuk fotostat pemimpin


Bagi mana-mana organisasi, persatuan atau pasukan, yang kecil mahupun besar, di peringkat komuniti, kampus, negeri, nasional mahupun global pemimpin adalah perkara yang penting. Seperti yang di ungkapkan oleh Sheikh Anwar Al-Awlaki yang membawa kisah Saidina Umar :

"Your human resources that count, its more important that your bricks and moors"

Untuk menjadi pemimpin memerlukan skill yang kebanyakan nya diperolehi dari pengalaman dan pembinaan. Kepimpinan bukanlah bersifat teori, ia tak dapat dicapai dengan hanya membaca buku, bersembang mengenainya atau mendengar talk berkenaan nya. Ia memerlukan latihan.

Jadi jika mahu melahirkan pemimpin perlu kepada perlaksanaan medan latihan, bukan hanya mencurah teori dan air liur. Begitu lah yang diungkapkan oleh Sheikh Dr. Tareq Suwaidan, dan  medan latihan atau training centre ini 800 peratus lebih berkesan bagi melahirkan pemimpin. Jadi jika kita serius mahu memimpin masa hadapan kita perlu berusaha ke arah ini.

Ahad, 6 Disember 2009

Padang pasir menjadi saksi


"Dari ALLAH kita datang dan dari ALLAH kita kembali" itulah kata-kata yang keluar dari mulut Sang Mujahid Omar Mukhtar apabila diminta kata-kata terakhir apabila perbicaraan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati di khalayak ramai kepadanya kerana menentang penjajahan Itali di Libya.

Selama 20 tahun berjuang mempertahankan bumi Libya dari penjajahan Itali di era Benito Mussolini akhirnya Sang Mujahid ini ditangkap pada masa Jeneral Rodolfo Graziani mengetuai gerakan ketenteraan di Libya.

Perjuangan Omar Mukhtar sememangnya dikagumi dan digeruni oleh pihak Itali. Sungguh pun sebelum perang tercetus beliau hanya merupakan seorang guru Al-Qur'an.

Pengetahuannya mengenai geografi Libya memberikannya kelebihan bagi melancarkan serangan gerila ke atas angkatan perang Itali. Pihak Itali yang tidak mahir dalam perperangan di padang pasir dan kawasan berbukit di malukan dengan serangan-serangan dari pihak Omar Mukhtar.

Perjuangan Omar Mukhtar pernah di adaptasi kepada filem pada 1981 atas arahan Moustapha Akkad bertajuk "Lion of the Desert".

"Sometimes it is braver not to die" adalah antara quote menarik yang terdapat di dalam filem tersebut.

Khamis, 27 Ogos 2009

Ahmed Deedat Pendakwah Gigih


Sewaktu saya kecil. Sering kedengaran di telinga saya mengenai seorang tokoh dari India. Seorang pendakwah yang gigih berusaha meyakinkan umat manusia bahawa Islam adalah cara hidup sebenar.

Perdebatan hebat beliau mengenai perbandingan agama juga antara perkara yang sering saya dengari ketika saya di zaman kanak-kanak. Namun pada masa itu saya tidak pernah mendengar walau sepatah apa yang beliau katakan kerana batasan sumber dan mentaliti yang masih belum matang.

Sehinggalah tiba era teknologi kini. Di mana maklumat dapat di ketahui dengan mudah.
Saya melihat post sahabat yang saya sayangi , Termidzi Mahmod di laman sosial Facebook mengenai jawapan beliau kepada soalan wanita Cristian.

Bertitik tolak dari ini saya mula mencari video beliau di laman Youtube. MasyaALLAH.
Video pertama yang saya saksikan bertajuk 'Muhammed in the bible' . Subhanallah. Beliau mengupas tajuk berkenaan dengan bernas dan menarik. Membuatkan 'Audiens' kagum. Bukti-bukti yang dikemukakan juga sangat logikal. Malah beliau sedikit sebanyak dapat bertutur dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu , Hebrew , dan Sepanyol.

Video kedua yang saya saksikan adalah perdebatan antara beliau dan Jimmy Swaggart di USA .
Perdebatan ini bertajuk 'Bible God's Word?'. Di dalam video ini jelas menunjukkan kemantapan hujah beliau terhadap tajuk perdebatan . Sementara Saudara Swaggart pada 'Second Round' penghujjahannya jelas menunjukkan bahawa dia tidak membuktikan kesahihan Bible sebagai kata-kata Tuhan.

Kematian beliau pada 8 Ogos 2005 sungguh merupakan satu kehilangan besar bagi ummah Islam. Maha Suci ALLAH yang membangkitkan tokoh yang begitu 'talented' dan aktif dalam memperjuangkan Islam. Semoga ALLAH menerima segala usahamu dan semoga digolongkan dikalangan Solihin Wahai Mujahid Islam Ahmed Deedat.