Memaparkan catatan dengan label Talk. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Talk. Papar semua catatan

Ahad, 18 April 2021

Bagaimana Mahu Memilih Bidang Pengajian Selepas SPM?

 

Jika anda blur atau tidak tahu bidang apa yang hendak dipilih selepas anda menamatkan pengajian sekolah, usahlah risau. Anda bukanlah pelik, tidak normal, atau tidak punyai keupayaan, sebenarnya ia adalah fenomena biasa. Berbillion-billion manusia di dunia ini sama seperti anda, mereka juga tidak tahu bidang apa yang mahu dipilih.

Sebenarnya soalan ini terlalu awal untuk dijawab dan ditentukan oleh seseorang yang berumur 17 tahun. Dunia ini terlalu besar dan luas, kompleks, penuh dengan risiko dan peluang, mustahil dengan hanya 17 tahun kita bisa memahami dunia yang kompleks ini seterusnya menempatkan diri kita dalam tempat yang sesuai untuk berkhidmat di dalamnya. Jangan kata pelajar 17 tahun, orang dewasa yang berumur 40-50 tahun pun belum tentu dapat merasakan bidang yang dipilihnya dalam hidup adalah bidang yang betul.

Bahkan sebenarnya tiada sebenarnya yang dikatakan “bidang yang betul”, kerana apa yang dirasakan betul itu relatif. Betul atas dasar apa? Atas dasar gaji? Kepuasan diri? Status sosial? Diterima masyarakat? Mungkin ia betul untuk satu fasa kehidupan kita, kemudian menjadi tidak betul apabila kita ke fasa yang lain. Sebab itu jika kita masuk ke alam pekerjaan, kita akan melihat bagaimana adanya orang yang bertukar bidang setelah bekerja lebih 10 tahun, ada orang yang bekerja dalam bidang yang tiada kena mengena dengan kursus pengajiannya sebelum ini.

Jadi jangan risau, jika anda salah memilih bidang sekalipun, ia bukanlah pengakhiran dunia. Pintu pengajian sentiasa terbuka, dunia tidak pernah berhenti untuk memberi kita pelajaran selagi kita membuka minda dan jiwa kita untuk belajar. 

Saya berpandangan belajar merupakan satu proses sepanjang hayat. Ia tidak semestinya formal, tanpa menafikan kepentingan pengajian formal. Pengalaman peribadi saya juga sebenarnya bukanlah seindah seperti apa yang tertulis di atas cv atau resume, saya dahulu juga meminati bidang yang lain. Namun peluang yang datang adalah dalam bidang yang lain, maka saya mengambil peluang itu, mengikutinya. Selepas tamat sarjana muda saya menyambung pengajian dalam bidang sarjana kejuruteraan. Namun saya gagal dalam pengajian tersebut kemudian mula bekerja.

Setelah sekian lama bekerja, saya dapati minat saya mula berubah. Saya tidak berminat lagi dengan bidang kejuruteraan yang saya ikuti sebelum ini. Semasa bekerja saya ada menghabiskan pengajian diploma bersama sebuah institusi professional dan berjaya menjadi ahli persatuan professional. Namun kemudian saya merancang untuk menyambung semula pengajian sarjana saya, cuma kali ini bukan lagi sarjana kejuruteraan, tetapi lebih kepada sarjana dalam bidang sains sosial. Memang begitulah hidup. Kita tidak tahu kemana kita akan pergi, kita tidak tahu apa minat kita yang sebenar, orang yang kita lihat berjaya hari ini pun, satu ketika dahulu mereka juga blur, tidak tahu apa yang harus dia buat di atas muka bumi ini. Itu adalah satu perkara yang normal.

Jadi janganlah takut untuk memilih bidang pengajian apa pun. Boleh jadi bidang itu akan membawa kita mengenali bidang dan peluang lain, ia akan meluaskan lagi pemandangan kita seiring kita berjalan dalam kehidupan. Dunia ini kompleks, mustahil kita tahu semuanya untuk buat keputusan yang betul. Oleh itu kita perlukan pengalaman, dan kita perlu bermula di satu titik. Selepas kita bermula kita akan mula meneroka, meneroka minat dan potensi diri kita. Yang penting kita memulakan perjalanan ini, tidak kira dititik mana pun kita mulakannya.

Saya masih ingat kata-kata CEO saya pada satu ketika dahulu, beliau memimpin syarikat multi-nasional dengan pejabat operasi hampir diseluruh negara di dunia ini. Katanya, jika dia mahu memilih pekerja, dia tidak akan lihat pun apa jenis kursus atau dari universiti mana seseorang itu belajar, asalkan dia mempunyai sijil sarjana muda, sijil itu sekadar untuk membuktikan bahawa dia merupakan seseorang yang pandai menulis, mengira, dan berfikir. Bahkan di tempat kerja saya, ada teman yang mendapat gaji lebih tinggi dari saya atas skil istimewa yang dipelajarinya, walaupun jika dibandingkan dari sudut pendidikan, dia tidak mempunyai sarjana muda pun. Jadi usah risau. Jika anda tidak diterima masuk mana-mana universiti sekali pun, itu bukan bermakna dunia sudah berakhir. Jalan untuk berjaya mempunyai banyak cabang, boleh jadi cabangnya bukan dari cabang universiti.

Saya masih ingat akan seorang teman di sekolah, beliau adalah pelajar tahfiz, dia tidak mengikuti pengajian akademik di tingkatan 1 dan 2, terus melangkah ke tingkatan 3. Namun dia belajar tanpa berputus asa. Siang dan malam dia belajar sehinggalah dia menjadi antara pelajar yang cemerlang semasa SPM, berjaya menamatkan pengajian universiti dalam bidang farmasi, kemudian membuka perniagaan farmasi dengan cawangan di serata negara.

Oleh itu jika ditanyakan kepada saya apakah asas untuk memilih kursus dan bidang selepas tamat SPM? Saya akan menjawab keazaman dalam menuntut ilmu dan kecintaan pada ilmu. Berusahalah memilih, berbincang dengan ibubapa dan guru, dan sambutlah apa pun peluang yang datang. Itu hanya titik permulaan. Selepas itu jangan berhenti, kerana saya percaya belajar itu bukan habis apabila kita mendapat segulung ijazah, ia sepatutnya berakhir apabila kita menjadi jenazah. Sebelum itu sampai, kita perlu menjadi pelajar sepanjang hayat.

Ahad, 9 Mac 2014

Cara untuk fotostat pemimpin


Bagi mana-mana organisasi, persatuan atau pasukan, yang kecil mahupun besar, di peringkat komuniti, kampus, negeri, nasional mahupun global pemimpin adalah perkara yang penting. Seperti yang di ungkapkan oleh Sheikh Anwar Al-Awlaki yang membawa kisah Saidina Umar :

"Your human resources that count, its more important that your bricks and moors"

Untuk menjadi pemimpin memerlukan skill yang kebanyakan nya diperolehi dari pengalaman dan pembinaan. Kepimpinan bukanlah bersifat teori, ia tak dapat dicapai dengan hanya membaca buku, bersembang mengenainya atau mendengar talk berkenaan nya. Ia memerlukan latihan.

Jadi jika mahu melahirkan pemimpin perlu kepada perlaksanaan medan latihan, bukan hanya mencurah teori dan air liur. Begitu lah yang diungkapkan oleh Sheikh Dr. Tareq Suwaidan, dan  medan latihan atau training centre ini 800 peratus lebih berkesan bagi melahirkan pemimpin. Jadi jika kita serius mahu memimpin masa hadapan kita perlu berusaha ke arah ini.