Jumaat, 30 September 2016

World Order



Penulis: Henry Kissinger
Penerbit: Penguin Books (2015)

Buku ini merupakan antara buku yang sangat saya nantikan. Penulisan berkenaan dengan politik dunia oleh seseorang yang merupakan watak utama di dalamnya. Ramai yang menganggap Kissinger sebagai penjenayah perang oleh kerana peranan yang beliau mainkan dalam foreign policy Amerika Syarikat (AS). Beliau merupakan arkitek kepada kudeta yang di dalangi AS juga siri perperangan yang disertai AS, terutamanya semasa era Presiden Nixon. Antara peperangan ini adalah peperangan di Vietnam, Laos dan Kemboja, yang menyaksikan jumlah kematian melebihi 4 juta orang.

Kissinger memulakan buku ini dengan menelusuri sejarah benua Eropah, bagaimana Eropah mengalami peperangan selama 30 tahun, yang mengorbankan hampir 8 juta manusia. Selain dari kuasa, agama dimainkan secara aktif dalam siri peperangan ini dimana fahaman Protestant bertarung dengan fahaman Catholic, ia juga mempamerkan bagaimana kuasa-kuasa besar saling berubah sekutu dalam strategi mereka. Tragedi perang agama ini diakhiri dengan Peace of Westphalia yang meletakkan prinsip asas keamanan dunia. Antara prinsip yang dipersetujui adalah menghormati sempadan negara, menghormati kedaulatan negara dan tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain.

Kissinger juga membahaskan peranan Revolusi Perancis juga Dua Perang Dunia dalam membentuk prinsip keamanan global. Juga peranan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh seperti Matternich, Bismarck, Napoleon, Churchill, Hitler, Stalin dan lain-lain.

Terdapat satu bab yang membahaskan perspektif Islam terhadap World Order, dalam bab ini Kissinger membahaskan bagaimana Islam memecahkan dunia kepada dua katergori iaitu Daar'ul Islam dan Daar'ul Harb. Juga revolusi pemikiran yang dibawa oleh Al-Banna melalui Ikhwan Muslimin, Kissinger mengkritik tulisan Sayyid Qutb didalam bukunya Milestones, beliau menulis tulisan ini sebagai pengishtiharan perang oleh Islam ke atas fahaman lain, katanya "a declaration of war against the existing world order that became a foundational text of modern Islamism".

Dalam perbahasan mengenai polisi luar negara Amerika, buku ini menonjolkan sikap hipokrit Kissinger dalam mempertahankan perperangan yang disertai AS. Beliau menyatakan keperihatinan AS dalam mempertahankan nilai demokrasi dan kebebasan merupakan faktor yang menggerakkan AS untuk memasuki perperangan. Menurutnya, AS berperang untuk mempertahankan nilai, bukan atas faktor kepentingan negara atau faktor material. Walhal dalam sejarah sehinggalah sekarang, kita dapati AS menyokong kudeta dan regim autokratik di kebanyakan bahagian dunia demi kepentingan mereka.

Buku ini juga memperlihatkan keyakinan beliau terhadap fahaman American Exceptionalism. Beliau mengutarakan bahawa AS bukan negara biasa, tetapi adalah engin dalam perancangan tuhan bagi menjaga keamanan dunia.

Walaupun begitu, buku ini juga mempunyai pelbagai sisi positif. Terutamanya dalam pemikiran, fakta sejarah dan juga keilmuan. Penerangan beliau berkenaan dengan bagaimana perkembangan Eropah dari negara-negara yang musnah akibat perperangan kepada termerterainya sistem Wesphalia, sangat berkesan dan mudah difahami. Analisis beliau berkenaan dengan Jepun, China dan India juga akan membantu pembaca memahami, kenapa setiap negara mempunyai dasar luar negara yang berbeza dan kaitan nya dengan sejarah. Sebagai contoh, bagaimana tulisan Kautilya iaitu Arthashastra yang setanding dengan tulisan Machiavelli mempengaruhi sikap India terhadap polisi luar negara.

Yang terakhir, penerangan beliau berkenaan dengan peranan media sosial dalam mempengaruhi apa yang kita yakini sebagai benar juga merupakan perbincangan yang mencambahkan pemikiran.

Untuk review dalam bahasa Inggeris, sila klik di sini.