Ahad, 29 Mac 2015

Aku dan diari Annelies Frank




Tajuk: The diary of a young girl - The definitive edition
Penulis: Anne Frank
Penerbit: Bantam Books (1997)

Saya teringat teguran supervisor saya pada satu ketika dahulu, berkenaan dengan ilmu. Katanya untuk mendapatkan ilmu kita perlu merendahkan diri, ada ketika ilmu itu datang dari orang yang lebih bawah dari kita. Andai kita sombong kita tidak akan mendapatnya.

Ada sebahagian dari tulisan Anne yang saya kira besar ertinya buat saya. Iaitu penghargaan hidup.

Anne menceritakan bagaimana dia merindukan udara segar dan cahaya matahari sepanjang beberapa tahun di dalam persembunyian dari pihak Nazi Jerman. Hari ini 71 tahun selepas tulisan itu, ketika saya memerhatikan awan biru dan merasakan tiupan angin, terdetik dihati saya, inilah yang Anne mahukan. Alangkah beruntungnya saya kerana dapat merasainya.

Nikmatnya boleh melihat langit biru dan mendapat cahaya matahari. Satu nikmat yang kita rasai setiap hari, sehingga kita merasakan bahawa ia adalah perkara biasa. Namun pada hakikatnya ia merupakan satu anugerah yang sangat besar dan berharga. Sungguh manusia akan menghargai sesuatu apabila kehilangannya.

Buku ini merupakan diari yang ditulis oleh Annelies Mary Frank yang mencatatkan pengalaman bangsa Yahudi yang hidup ketika Holland berada dibawah jajahan Nazi Jerman. Anne mula menulis mengenai kehidupan dan pengalaman keluarganya menyembunyikan diri dari tentera Nazi seawal usia 13 tahun. Tulisan nya menyentuh pelbagai subjek dalam hidup dari perspektif remaja perempuan belasan tahun. Tulisan Anne juga memberi kesedaran berkenaan dengan pentingnya kita melihat manusia sebagai manusia, manusia merupakan manusia sebelum bangsa, nasional, agama dan ideologi. Manusia perlu dilayan dengan nilai kemanusiaan tanpa mengira agama dan bangsa. 

Diari Anne sememangnya memberikan inspirasi, membuatkan pembaca lebih menghargai hidup dan berusaha mengubah ketidak adilan dan kezaliman yang ada serta memperjuangkan hak-hak manusia. Sesukar mana pun kita merasakan hidup ini, kita perlu menghargainya sebagai satu peluang dan melihat hidup sebagai satu anugerah yang indah. 
 
"Inc danke dir fur all das Gute und Liebe und Schone"
Thank you, God, for all that is good and dear and beautiful.