Sabtu, 29 November 2014

Erti hidup


Ada manusia saya lihat sering ke gym membina badan. Badan jadi sihat, segak dan kuat. Tapi kemana digunakan kekuatan itu?

Ada manusia saya lihat kuat usaha dan mengejar karier. Siang malam usaha ditumpukan untuk kerja mengumpul harta. Tapi kemana harta itu dibelanjakan?

Ada manusia saya lihat hebat ilmunya. Sebelum nama nya ada gelaran Professor. Tapi di mana ilmu itu diamalkan?

Ada manusia saya lihat mempunyai kehidupan. Tetapi untuk apa kehidupan itu dihabiskan?

Ahad, 9 November 2014

Islam dan Jihad: Prasangka atau Kenyataan





Penulis: Abdul Gafoor Noorani
Tajuk asal: Islam and Jihad Prejudice versus Reality
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad
Tahun: 2007

Buku ini ditulis sebagai respon balas kepada sentimen Islamofobia yang meningkat di eropah terutamanya selepas terjadinya serangan 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat. Ia merupakan salah satu usaha bagi memperbetulkan salah tanggap terhadap konsep jihad di dalam Islam secara khusus, juga salah tanggap terhadap Islam secara umum.

Namun, penulis yang merupakan seorang peguam ini tidak hanya berhenti pada membicarakan topik jihad sahaja. Beliau turut memberi pandangan mengenai topik sejarah, golongan fundamentalis dalam Islam, fatwa dalam Islam, hak asasi dan demokrasi dalam Islam, dan juga persoalan ijtihad dan kepentingannya di era moden.

Saya berfikiran bahawa penulisan ini merupakan satu perbentangan yang baik, terutamanya dalam menerangkan konsep jihad yang sebenar dan membersihkan nama Islam dari fitnah-fitnah jahat oleh musuh Islam. Dengan mengetengahkan asas-asas demokrasi yang telah wujud dalam kalangan masyarakat juga membuktikan bahawa Islam bukan ketinggalan dalam sudut politik.

Walaubagaimana pun, beberapa analisis dari penulis pada pemikiran saya tidak tepat. Terutamanya penolakan terhadap konsep negara Islam. Noorani berhujah bahawa tidak ada ayat Qur’an yang memberi penjelasan yang detail berkenaan dengan perlunya ditubuhkan negara Islam, kosep-konsep negara Islam dan perlaksanaannya. Beliau berpendapat bahawa Islam merupakan agama untuk membentuk manusia bukan negara.

Saya berpendapat bahawa Al-Qur’an menetapkan prinsip bagi sesebuah negara Islam. Manakala sudut praktikal dan perlaksanaannya perlu di lihat melalui sunnah Rasulullah dan para sahabat. Sunnah ini perlu ditafsir mengikut konteks dan dimurnikan dengan suasana semasa.

Beliau juga mengkritik keras pemikiran Syed Qutb dan Maududi dan menganggap mereka sebagai fundamentalis yang memperjuangkan tafsiran Islam yang salah. Baginya tafsiran Syed Qutb dalam bukunya Fi Zilail merupakan tafsir yang menyeleweng, terutamanya pada tafsiran berkenaan negara Islam.

Banyak lagi pemikiran penulis yang saya kira merupakan analisis yang tidak menyeluruh dan komprehensif. Apa pun saya kira setiap orang mempunyai pemikiran dan pendapatnya sendiri sesuai dengan kefahaman dan ilmu yang diberi Allah kepadanya. Perbezaan kadang kala merupakan keperluan, ia merupakan anugerah Allah agar manusia dapat berfikir. Namun kita seharusnya mengakui bahawa pemikiran manusia mempunyai batas, oleh itu perlu kepada kita agar sentiasa berpegang pada Al-Qur’an dan hadith. Juga pandangan ulama muktabar dan para alim dan fuqaha’.
Semoga Allah memberi hidayah kepada kita semua.