Khamis, 28 Julai 2011

Taujih Ruhiyah




Judul : Taujih Ruhiyah-Pesan-pesan spiritual Penjernih hati.
Penulis: Abdul Hamid Al-Bilali.
Penerbit: An-Nadwah.
Bahasa: Indonesia.

Seperti yang kita semua sedia maklum hati itu sifatnya mudah berbolak-balik.Atau dalam kata lain mudah berubah dan mudah dipengaruhi oleh persekitaran. Sifat ini sememangnya sudah terbukti. Contohnya dalam percintaan antara manusia. Mencintai seseorang hari ini tidak menjamin dia akan mencintainya esok hari.Lalu muncullah istilah-istilah seperti 'cinta beralih arah' , 'cinta tak kesampaian' dan macam-macam lagi.

Tetapi tidak dinafikan terdapat pasangan yang bercinta sehingga ke akhir usia. Sampai ke tua cinta yang disimpul masih erat terikat kuat. Rahsianya adalah cinta itu dijaga.Sentiasa diperbaharui , diingati kemanisannya. Ia sentiasa dibaja dan dijaga sehingga akhirnya ia bisa setia.

Begitu juga dengan hati yang cinta kepada akhirat. Ia perlu dijaga dan dibaja agar kekal setia. Agar cinta itu terus subur , tidak pudar dan tidak beralih arah. Bajanya adalah peringatan kepada hati tentang kemanisan cinta kepada akhirat.

Maka buku ini tampil memberi motivasi dan peringatan.Sarat dengan kisah sahabat dan tabi'n sebagai contoh bagai mana mereka dapat menjaga kesuburan cinta mereka kepada akhirat. Juga sebagai motivasi kepada kita untuk terus beramal hingga ke garisan penamat yang kita tidak tahu bila dan dimana.

Semoga bermanfaat.

Selamat menyambut Ramadhan Mubarak.

Rabu, 13 Julai 2011

Surah Yusuf Ayat 103-108


"Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau sangat menginginkannya.Dan engkau tidak meminta balasan apa pun kepada mereka (terhadap seruanmu ini) , sebab (seruan) itu adalah pengajaran bagi seluruh alam.Dan berapa banyak tanda (kebesaran ALLAH) di langit dan di bumi yang mereka lalui namun mereka berpaling darinya.Dan kebanyakan mereka tidak beriman kepada ALLAH , bahkan mempersekutukan-NYA. Apakah mereka merasakan aman dari kedatangan siksa ALLAH yang meliputi mereka , atau kedatangan hari Kiamat kepada mereka secara mendadak , sedang mereka tidak menyedarinya? . Katakanlah (Muhammad) 'Inilah jalanku , aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada ALLAH dengan YAKIN , Mahasuci ALLAH dan aku tidak termasuk dalam golongan orang yang Musyrik".


(Yusuf:103-108)

Sedikit tadabbur.

Ayat-ayat ini merupakan pujukan kepada golongan pendakwah dan penyeru. Pendakwah ini bukanlah dimaksudkan mereka yang mengambil kursus sarjana atau diploma dalam bidang dakwah di kolej mahupun universiti. Juga bukanlah golongan yang telah mendapat tauliah dari badan-badan kerajaan atau jabatan agama negeri sebagai pendakwah bebas. Juga tidak terbatas kepada golongan-golongan ustaz dan ustazah sahaja.

Mungkin anda hanya pelajar biasa sahaja. Tidak menyambung pengajian dalam bidang agama. Mungkin bidang yang diceburi adalah perusahaan , undang-undang , farmasi , perubatan dan sebagainya. Atau mungkin anda hanya seorang pekerja biasa di mana-mana syarikat.

Tapi anda di beri hidayah oleh ALLAH untuk merasakan kondisi masyarakat yang semakin parah. Lalu ALLAH campakkan kesedaran di hati untuk cuba membantu melaksanakan perubahan dan pembaikan di dalam masyarakat.

Meskipun usaha anda , anda rasa kecil. Misalnya mengajak teman serumah solah berjemaah. Atau mengajak teman sekerja berpuasa sunat atau menghadiri kuliah di surau. Atau menegur perbuatan maksiat teman anda secara berhikmah. Inshaallah jika niatnya bersih kerana ALLAH dan ingin melihat lahir satu generasi yang lebih baik. Anda adalah pendakwah. Inshaallah usaha kecil itu pasti diganjari.

Jadi , ayat 103-107 ini ALLAH tujukan untuk anda. Ianya merupakan motivasi dan bekalan berharga buat anda. Kerana hati manusia mudah bersedih dan bertukar arah apabila berdepan dengan ujian. Dalam ayat-ayat ini ALLAH menekankan tugas kita hanya menyampaikan. Menyeru , memimpin dan berusaha. Sekiranya ajakan anda di tolak atau tidak berhasil , jangan bersedih kerana urusan hati adalah milik ALLAH SWT.

Di ayat 108 ALLAH mengesyorkan agar kita terus yakin akan jalan yang kita pilih ini. Sememangnya mengajak manusia kembali kepada Islam bukanlah tugas mudah.Ianya tidak semudah berkata-kata atau menulis blog . Ia memerlukan pengorbanan masa , tenaga , waktu tidur , wang ringgit dan sebagainya.Sememangnya sukar dan keyakinan adalah bekalan penting untuk memastikan kita terus kekal tanpa jemu meski berhadapan duri cubaan yang sukar ini.

Wallahualam.